Buletin

MAUT TERKENA BILAH HELIKOPTER CIPTAAN SENDIRI

Seorang lelaki yang menjadikan filem 3 Idiots sebagai sumber inspirasi mencipta helikopter maut di Mahagoan, India.

Mangsa, Sheikh Ismail Sheikh Ibrahim menemui ajal apabila terkena bilah kipas helikopter terbabit ketika sesi ujian.

Dia yang berusia 24 tahun yang tidak menamatkan sekolah memasang impian mencipta sesuatu luar biasa untuk membanggakan keluarga dan kampungnya.

Justeru, Sheikh Ismail telah membikin helikopter sendiri dikenali sebagai Munna Helicopter yang dibuat daripada besi sebagai prototaip.

Menurut rakannya, Sachin kepada Times of India bahawa Sheikh Ismail mula mengumpul maklumat dan mereka bentuk helikopter yang menggunakan enjin Maruti 800.

Lelaki itu berhasrat untuk memperkenalkan helikopter ciptaannya pada sambutan Hari Kemerdekaan tidak lama lagi.

Dia kemudian ada menjemput beberapa rakannya untuk melihat prototaip helikopter berkenaan pada 10 Ogos lalu.

Ramai rakannya teruja dan pergi ke sebuah lokasi di kampung berkenaan untuk melihat hasil ciptaan Sheikh Ismail itu.

Sebaik semua sudah berkumpul, Sheikh Ismail mula menghidupkan enjin helikopter berkenaan sebelum rotor helikopter mula berpusing dengan laju.

Tidak lama selepas itu, rotor di bahagian ekor helikopter tercabut dan terpelanting serta terkena bilah kipas utama.

Keadaan menjadi cemas apabila bilah berkenaan terpelanting dan terkena leher Sheikh Ismail.

Menurut rakannya, helikopter berkenaan sempat naik pada ketinggian 1.5 meter sebelum ini dengan Sheikh Ismail lengkap memakai topi keledar.

Namun, pada malam kejadian dia tidak memakai peralatan keselamatan dan meragut nyawanya. –HM/indiatimes

Google ads
Back to top button