INILAH PENDAPATAN PELUMBA-PELUMBA F1 UNTUK TAHUN 2023 – PAKCIK KAYO
Max Verstappen bukan hanya memandu jentera F1 dengan nombor 1 tapi beliau juga merupakan pelumba F1 berpendapatan paling tinggi tahun ini. Keseluruhan gaji Verstappen tahun ini mencecah USD55 juta (RM233 juta boh)! Ini bermakna Verstappen kini mengatasi pendapatan Lewis Hamilton yang kini berada pada kedudukan ketiga.
Bukan itu sahaja, berdasarkan kontrak pemandu Verstappen juga memiliki baki kontrak paling panjang iaitu sehingga tahun 2028. Bermakna beliau masih mempunyai baki kontrak selama dua tahun sebaik undang-undang enjin baharu bakal diperkenalkan tahun 2026 nanti. Kalau tak puas hati masa tu boleh terus pencen. Duit dah banyak der.
Kedudukan kedua jatuh kepada Charles Leclerc yang baharu sahaja menerima bayaran yang dinaikkan sehingga USD36 juta (RM153 juta). Lebih USD1 juta berbanding Lewis Hamilton. Alah, Hamilton dah lama kumpul kekayaan pun selama penyertaan dalam F1. Kasi can la dekat orang baharu.
Lando Norris (bukan cip Lando) mengejutkan ramai peminat dengan pendapatan USD20 juta dan berada dikedudukan keempat. Noris baharu sahaja menandatangan kontrak awal tahun ini bersama McLaren dan hanya akan berakhir menjalang 2025.
Carlos Sainz mendapat habuan USD12 juta setahun diikuti Sergio Perez dan Valtteri Bottas yang masing-masing menerima USD10 juta seorang setahun.
Rakan sepasukan Hamilton, George Russell menerima USD8 juta setahun walaupun berjaya merangkul kedudukan yang lebih baik dari Hamilton dalam musim 2022. Jauh berbeza dengan pendapatan Hamilton sebanyak USD35 juta setahun. Bukan sesuatu yang pelik kerana Hamilton masih merupakan pelumba F1 paling tersohor di dunia pada ketika ini dan banyak penaja yang berebut untuk membayar iklan pada badan kereta beliau. Sama macam Verstappen jugak la.
Itu antara pelumba berpendapatan paling banyak. Menariknya walaupun tak ambil SPM mereka tahu cara untuk menguruskan wang dan membuat pembelian bijak. Max Verstappen mempunyai jet peribadi beliau sendiri dan dikatakan berminat untuk membeli Aston Martin Valkyrie. Charles Leclerc mempunyai koleksi Ferrari dan turut berminat untuk memiliki Mercedes-AMG One.
Lewis Hamilton tak payah cerita la. Mereka tak beli Mustang Ecoboost dan tayangkan gambar tengah beli barang kemas kat media sosial. Untuk beri galakan supaya ramai berjaya macam mereka kononnya.