
KIA GRAND CARNIVAL, PEMASANGAN TEMPATAN LAGI MEWAH. 7 ATAU 8 TEMPAT DUDUK
Beberapa bulan lepas, kami telah menguji Kia Grand Carnival versi CBU 11 tempat dudukyang dijual pada harga RM 196,340 dan anda boleh baca laporan pandu ujinya di SINI. Disebabkan versi CBU dipasarkan sebagai kenderaan perdangangan 11 tempat duduk, maka ia menerima kelebihan dari segi struktur cukai yang lebih mesra
Berbeza dengan dengan versi pemasangan tempatan di Kulim Kedah, versi CKD dipasarkan sebagai kenderaan penumpang dengan kapasiti 8 tempat duduk dengan 3 pilihan varian. Paling Murah ia ditawarkan dalam versi 8 tempat duduk Mid pada harga RM 231, 288 diikuti dengan varian 8 tempat duduk High dengan harga RM 247, 228
Varian yang dipandu uji oleh kami pada kali ini ialah varian tertinggi iaitu 7 Tempat Duduk High dengan harga RM 261,228 tidak termasuk cukai jalan dan insuran. Selain menawarkan ruang dalaman yang lebih luas, versi 7 Seater High ini juga menawarkan beberapa ciri keselamatan tambahan dan ciri mewah yang lebih menarik berbanding dengan versi 8 Seater Mid dan 8 Seater High.

Dari segi rekaan depan, varian 7 Tempat Duduk High masih lagi sama dengan varian yang lain dan juga varian CBU melainkan ia kini dilengkapkan dengan unit radar di jeriji bawah depan dan juga kamera yang akan memberi suapan maklumat kepada sistem Advavance Driver Assist System (ADAS).
Cermin sisi juga menerima rekaan yang lebih kecil dan aerodinamik berbanding dengan versi CBU. Bagi bahagian belakang pula, mentol biasa yang digunakan pada lampu belakang digantikan dengan unit LED dan juga LED Stripe yang dipasang secara melintang di bahagian pintu belakang.
Jika anda berdiri lama di pintu belakang dengan membawa kunci, pint belakang akan terbuka secara automatik bagi memberikan anda akses kepada ruang sebesar 627 liter. Ia cukup untuk semua 7 atau 8 penumpang bagi perjalanan bercuti atau balik kampung.

Jika tidak cukup, kusyen barisan ke 3 boleh ditanam rata dalam lantai dan kusyen barisan ke 2 boleh ditolak ke depan bagi memberikan ruang sebesar 2460 liter setara dengan sebuah lori bagi membolehkan anda membeli belah di IKEA dengan tenang.
Namun perubahan terbesar yang diterima bagi varian 7 Tempat duduk High dan 8 Tempat duduk High/Mid ialah aspek keselamatan yang lebih bagus walaupun bilangan tempat duduk menjadi kurang. Kesemua tempat duduk sekarang menggunakan tali pinggang keselamatan 3 poin berbanding dengan hanya 2 poin bagi tempat duduk di bahagian tengah.
Malah tempat duduk di bahagian tengah juga menerima perehat kepala dan selesa untuk perjalanan jarak jauh. Bagi varian 8 tempat duduk, kusyen tengah barisan kedua boleh dibuka terus bagi menjadikannya 7 tempat duduk sahaja atau dipusing ke arah belakang bagi memasang kerusi bayi secara rear facing.

Jangan risau, varian 8 tempat duduk dipasang dengan 5 poin ISOFIX bagi pemasangan kerusi bayi untuk keselamatan tambahan. Tapi varian 7 tempat duduk menawarkan aspek kemewahan yang lebih baik dengan kusyen barisan kedua dilengkapi perehat kaki dan boleh diubah kepada posisi rehat yang sangat optima dengan hanya menggunakan 1 butang sahaja
Istimewa bagi 7 Tempat Duduk High, ia turut diberikan ciri tambahan moonroof untuk bahagian belakang dan juga bumbung suria bagi pemandu dan penumpang depan. Bagi varian 8 Seater High dan 7 Seater High, ia dipasang dengan pelbagai ciri keselamatan aktif seperti High Beam Assist, Blind Spot Avoidance & Collision, Rear Cross Traffic & Avoidanve
Sistem kamera tambahan pula menawarkan ciri Lane Keep Assist, Adaptive Cruise Control, Lane Following Assist dan juga Brek Kecemasan Automatik. Penulis telah mencuba semua ciri keselamatan dan ia berfungsi dengan sangat cemerlang walaupun garisan jalan adalah kabur dan dibasahi oleh air hujan. Memang mantap aspek keselamatan Kia Grand Carnival ini
Jika anda mahukan sebuah MPV sebesar banglo yang selesa untuk 7 atau 8 tempat duduk, siap dengan semua ciri mewah, lengkap dengan aspek keselamatan, dilengkapi dengan enjin turbodiesel dengan hamburan 199 kuasa kuda dan 440Nm tork, jimat dan laju, cuba anda intai Kia Grand Carnival ini
Ia ditawarkan lengkap dengan 5 tahun jaminan dan juga 5 tahun servis percuma sehingga 100,000km.







