Artikel Pilihan

MAZDA AZ-1 AUTOZAM. ZAM ZAM ALAKAZAMMMM!!!

Segmen Kei Car merupakan segmen yang sangat popular di Jepun. Dari dulu sehinggalah sekarang. Di dalam segmen Kei Car ini terdapat satu sub-segmen yang dipanggil “Sporty Kei Car”. Puncak kegemilangan “Sporty Key Car” adalah ketika circa 90-an dimana ketika itu nama Sporty Kei Car ABC sangat sinonim di Jepun.

A – Autozam AZ-1
B – Honda Beat
C – Suzuki Cappuccino

Ketiga-tiga model ni boleh dikatakan tahap “Legend” dah sekarang ni.

Untuk hari ini kita akan mengupas tentang jentera bernama Autozam AZ-1 ini. Sejarah jentera ini bermula pada tahun 1985.

Ketika ini pihak Suzuki mahu membuat “Mid Engine Sports Car” untuk dipasarkan secara meluas. Enjin yang digunakan adalah enjin berkod G13A dari Suzuki Cultus. Kod jentera ini dinamakan sebagai Suzuki RS/1. Di atas kertas begini lah rancangannya.

Kita hanya mampu merancang, namun Tuhan yang menentukan. Begitu lah juga dengan cerita RS/1 ini. Dipendekkan cerita projek ini tidak menjadi kenyataan kerana pihak Suzuki fokus kepada projek Cappuccino.

Pihak Mazda menerusi Ketua Pereka mereka iaitu Toshiko Hirai bersama pasukan beliau mengambil alih projek ini untuk direalisasikan. Ketika ini Mazda pun yakin tak yakin je sebab kekangan bajet dan kapasiti pekerja serta alatan.

Namun mereka teruskan juga. Sehinggalah seperti yang anda lihat sekarang. Sebuah jentera bernama Autozam AZ-1. Jentera ini mula diproduksikan pada tahun 1992.

Begitulah sedikit sebanyak sejarah jentera ini. Sekarang kita pergi kepada spesifikasi.

Cesi jentera ini dibuat daripada keluli manakala bahagian badan pula dibuat daripada “Fibreglass”. Kombinasi ini menjadikan jentera ini sangat ringan dengan berat keseluruhan sebanyak 720kg.

Cesi jentera ini dilengkapi sengan set suspensi “McPherson Strut” pada keempat-empat penjuru jentera.

Menariknya di sini adalah rekaan pintunya. Rekaan pintu jentera ini menggunakan konsep “Gullwing Doors”. Pintu akan kelihatan seperti sayap ketika dibuka. Sama konsep seperti jentera DMC DeLorean dan Mercedes Benz SLS AMG. Cuma versi Autozam AZ-1 ini adalah versi paling kecil.

Dimensi jentera ini adalah seperti berikut :-

Panjang – 3,295mm
Lebar – 1,395mm
Tinggi – 1,150mm

Berdasarkan angka ini, kita dapat lihat bahawa jentera ini sangat rendah. Lebih rendah daripada Lamborghini Gallardo ! Bahkan jauh lebih rendah daripada Perodua Kancil !

Dimensi sekecil ini semestinya memberi kesan kepada ruang dalaman. Kabin jentera ini sangat kecil dan tidak sesuai kepada mereka yang mempunyai ketinggian lebih daripada 175cm.

Kerusi pemandu dan penumpang juga sangat rapat. Berlaga bahu itu pasti. Sedangkan jika pemandu nak turunkan cermin pun terpaksa kayuh menggunakan tangan kiri. Nak masuk jentera pun leceh.

Bukan boleh main masuk je tetapi kena melangkah bahagian sisi jentera terlebih dahulu. Silap step boleh tergelincir. Namun sisi baiknya pemandu serta penumpang tidak perlu terlalu menunduk ketika masuk kerana rekaan pintu “Gullwing Door” ini memberikan ruang yang cukup.

Rekaan dalaman jentera ini cukup ringkas. Yang ada cuma komponen asas seperti roda stering, panel meter, kerusi pemandu dan penumpang, tombol gear, panel kawalan penghawa dingin, suis lampu, suis wiper, dan pemain audio. Dengan ruang yang terhad pun pemain audio serta penghawa dingin boleh dipasang. Syabas Mazda.

Sekarang kita pergi kepada jantung jentera ini iaitu enjin. Pertama sekali, enjin jentera ini terletak di bahagian tengah jentera. Sekaligus menjadikan layour jentera ini sebagai “Rear Mid Engine, Rear Wheel Drive”. Enjin belakang tengah, tarik belakang. Tapi jika dilihat pada kedudukannya, ia lebih kearah “Rear Engine, Rear Wheel Drive” seperti Porsche dan VW Beetle lama.

Enjin yang digunakan adalah enjin Suzuki F6A 3 selinder bersesaran 657cc. Enjin ini juga merupakan enjin yang sama digunakan pada Suzuki Cappuccino.

Enjin ini mempunyai nilai Bore X Stroke 65mm x 66mm. Nisbah mampatan adalah pada kadar 8.3:1. Sistem pendesak turbo digunakan bagi membantu enjin menghamburkan kuasa yang efisyen. Sistem bahanapi jentera ini dikawal secara elektronik.

Kemasukan serta keluaran campuran udara dan bahanapi dikawal dengan 4 injap bagi setiap selinder dan digerakkan oleh sepasang Aci Sesondol (DOHC) yang dipacu oleh “Timing Belt”. Enjin ini pada akhirnya mampu menghamburkan kuasa sebanyak 63hp pada 6,500rpm dan 85Nm pada 4,000rpm.

Kuasa yang dihasilkan ini seterusnya disalurkan ke kotak gear 5-kelajuan. Nisbah gear adalah seperti berikut :-

Gear 1 – 3.818
Gear 2 – 2.277
Gear 3 – 1.521
Gear 4 – 1.03
Gear 5 – 0.837
Gear Gostan – 3.583
Final Drive – 4.705

Kombinasi kuasa enjin serta nisbah gear ini membolehkan jentera ini memecut dari 0-100km/h secepat 11.5 saat. Kelajuan tertinggi direkodkan dengan sekatan elektronik adalah 140km/h. Sekiranya sekatan elektronik dimansuhkan, jentera ini mampu mencapai kelajuan sehingga 177km/h. Cukup laju bukan ?

Bukan sahaja laju, namun jentera ini sangat stabil. Hal ini kerana kedudukan enjin yang berada di tengah menbuatkan nisbah berat jentera ini hampir seimbang iaitu 44:56. Sistem suspensi yang baik juga membantu jentera ini mendapat pengendalian yang mantap.

Kelincahan dan kepantasan jentera ini dikawal oleh set brek cakera bagi keempat-empat penjuru jentera. Seterusnya jentera ini dilengkapi dengan set rim bersaiz 13 inci dan tayar bersaiz 155/65R13 bagi keempat-empat unit.

Jentera ini sukses atau tidak ? Berat saya ingin katakan namun jentera ini tidak berjaya bersaing dengan pesaingnya iaitu Honda Beat dan juga Suzuki Cappuccino dari segi jualan.

Hal ini kerana harga yang ditawarkan adalah mahal. Iaitu ¥1,498 Million, berbanding Honda Beat (¥1,388Million) dan Suzuki Cappuccino (¥1,458Million).

Tambahan pula ketika itu kegawatan ekonomi di dalam perjalanan untuk melanda Jepun. Hal ini memburukkan lagi situasi. Pihak Mazda kemudiannya mengambil inisiatif memperkenalkan edisi Mazdaspeed bertujual untuk melariskan jualan.

Edisi Mazdaspeed ini diberi kod A-Spec. Jentera ini menerima pembaharuan iaitu set “Sports Spring”, “Strut Bar” pada bahagian depan dan belakang, “Mechanical LSD”, “Sports Air Filter”, “Ceramic Muffler” dan Rim Alloy.

Kit badan jentera ini direka semula bersama tambahan “Rear Wing” bagi memberikan kelebihan aerodinamim berbanding varian biasa. Jentera Edisi Mazdaspeed A-Spec ini hanya dibekalkan dengan warna merah sahaja.

Sebuah syarikat subsidiari Mazda yang dikenali sebagai M2 juga mengambil inisiatif dengan membuat “Rebadged” model Autozam AZ-1 ini dan seterusnya dikenali sebagai kod M2 1015. Sebanyak 50 unit diambil dan dipasarkan oleh pihak M2 namun hanya separuh sahaja yang berjaya dijual.

Pihak Suzuki juga memainkan peranan dengan melakukan “Rebadge” pada je tera ini dan seterusnya dikenali sebagai Suzuki Cara. Semua tindakan ini tidak lain dan tidak bukan adalah untuk menaikkan jumlah jualan. Namun apakan daya, harga mahal datang bersama pakej kegawatan ekonomi. Autozam AZ-1 akhirnya rebah.

Produksi ditamatkan pada tahun 1995. Sepanjang 4 tahun pengeluaran, hanya 4,392 unit Autozam AZ-1 dan 531 unit Suzuki Cara berjaya dijual. Jika digabungkan angkanya adalah sebanyak 4,923 unit sahaja. Jauh berbeza dengan Honda Beat (33,600 unit) dan Suzuki Cappuccino (28,010 unit).

Walaupun tidak berjaya pada circa produksinya, namun jentera ini menjadi buruan para penggemar Kei Car di seluruh dunia. Jentera ini juga pernah menerima konsep modifikasi ekstrem.

Antaranya adalah pada tahun 1996 dimana firma penalaan dan pakar enjin Rotary RE Amemiya melakukan modifikasi ekstrem pada jentera ini. Enjin ditukar kepada enjin 20B 4 Rotor, sistem suspensi menggunakan sistem suspensi Porsche 962, sistem brek diambil dari Ferrari F50. Cesi diperkukuhkan dengan tambahan “Roll Cage”. Banyak lagi lah. Ini merupakan contoh modifikasi ekstrem yang terkenal, yang kita tak pernah dengar mungkin ada lagi di luar sana.

Jadi Tuan-Tuan, inilah sedikit sebanyak cerita tentang jentera Autozam AZ-1 ini. Saya pernah nampak ada individu/syarikat pernah mengiklankan jentera ini dengan harga RM195,000.

Tidak murah ye Tuan-Tuan.

Google ads
Back to top button