Buletin

MAZDA FAMILIA, COME OUT & PLAY!

Generasi keenam Familia menampilkan beberapa varian yang masih dimainkan oleh masyarakat Killerbees sampai hari ini. Walaupun datang dari generasi yang sama, kesemua varian sedan, liftback dan hatchback yang diperkenalkan sebenarnya tidak berkongsi komponen luaran seperti yang dilakukan oleh pengeluar lain.

Tak percaya, cuba tengok rupa Familia BG (sedan), Astina (liftback) dan Interplay (hatchback). Mana ada sama!

Tidak seperti generasi sebelumnya, varian hatchback siri BG ini juga hanya ditawarkan sebagai model berpintu dua. Tak boleh nakpilih-pilih. Kalau nak pintu empat macam siri BF dulu, sila beli Astina. Kerek sungguh! Hal ini bukan saja menyebabkan varian hatchback mereka begitu istimewa, tapi turut mengecilkan saiz pasaran tanpa sedar.

Selain versi jalanan biasa, model hatchback Interplay ini juga memiliki varian berprestasi GT-X yang dibekalkan dengan enjin siri BPT. Selang beberapa lama selepas itu, versi homologasi GT-R pula diperkenalkan untuk membolehkan mereka menyertai perlumbaan rali Group A.

Dilengkapi enjin BPD penuh kuasa, sistem pacuan AWD, serta penambahbaikkan di bahagian luaran dan dalaman, ia kekal sebagai hot hatch paling berpengaruh di kalangan peminatnya.

BACA: MAZDA NEO INTERPLAY. INI MEMANG RARE!

Kereta ini dibina semula oleh Kucit, selepas berpeluang menyambar sebijik casis kosong Interplay GT-R yang tersadai. Yer kosong. Maknanya kenalah bikin balik satu-satu dari skru pertama. Mujur Kucit dah lama terjebak dengan modifikasi model ini. Jadi proses salinan yang dirancang boleh dilakukan dengan mudah, tanpa perlu bantuan sepapan panadol.

Seperti lazimnya, kondisi casis ini perlu dibaik pulih sebelum disalin dengan komponen yang sesuai. Untuk luaran, ia telah dilengkapkan dengan komponen asal interplay GT-R, meliputi bahagian depan, belakang dan sisi.

Beberapa aksesori terhad juga boleh dilihat seperti sabit arch roda, garnish pintu, lampu depan kristal dan spoiler atas karbon. Paling penting penggunaan kit badan Mazdaspeed Type B Interplay GT-R, yang memiliki ruang udara lebih besar pada bumper depan.

Bagi memantapkan sektor pengendalian, sistem gantungan diserahkan kepada set suspensi boleh laras dari Bilstein. Memastikan ia mampu berhenti pada waktunya, sistem hentian menggunakan kit brek 4-pot Wilwood Dynalite, yang digandingkan bersama brek standard Interplay GT-R di bahagian belakang.

Sebagai pelengkap, bahagian roda mengandungi rim 16-inci jenis Volk Racing TE37, yang dibalut pada tayar Yokohama Advan Neova AD08 berukuran 205/50R-16 setiap satu.

Ruang dalaman turut menerima komponen milik Interplay GT-R, meliputi bahagian papan pemuka, tempat duduk dan keseluruhan panel utama. Untuk tempat duduk pemandu, ia dikepit kerusi bucket dari Recaro.

Tiada gajet paparan yang digunakan, kecuali pemasa enjin dan pengawal boost GReddy Profec-B, yang diletak kemas pada sisi papan pemuka. Juga kelihatan beberapa aksesori tambahan yang lain seperti panel meter karbon, pedal kaki Lonza, serta tombol gear dan stereng Mazdaspeed.

Salinan di bahagian enjin menyaksikan penggunaan enjin siri BPD, juga dari Interplay GT-R. Seperti penggemar prestasi lain, ia telah dimanjakan dengan rangkaian komponen terpilih, termasuk di bahagian dalam enjin.

BACA: MAZDA BG TURBO, BABY MERC

Antaranya penggunaan piston Supertech, conrod Manley serta galas enjin Clevite 77. Bahagian atas enjin kemudiannya dicantumkan dengan kepala silinder Ford TX3, sebelum dialas gasket keluli Cometic dan diikat mengunakan stud dari ARP.

Sistem pendesak juga tidak terlepas dari menerima peningkatan yang setara. Tersergam di belakang radiator adalah manifold turbo kustom yang memegang kemas turbo TD06 dari GReddy.

Sebuah wastegate Tial kemudiannya dipasang untuk mengawal tekanan pada perumah turbo. Bagi menyejukkan boost yang terhasil, ia dialirkan ke unit intercooler HKS Type S menerusi binaan paip sambungan kustom. Sebaik diterima masuk oleh throttle body Super90, lebihan boost yang tidak digunakan akan dibawa keluar melalui injap pelepas Tial.

Penyampaian bahan api dihantar oleh pam petrol Walbro, terus ke rel bahan api kustom yang memegang set injektor berkapasiti 560cc. Untuk kuasa nyalaan lebih efisyen, kabel pencucuh asal telah digantikan dengan sistem koil tunggal dari Honda.

Memastikan perjalanan enjin ini sentiasa pada tahap optimum, keseluruhan parameternya telah ditala semula menggunakan unit ECU Link G4 Atom dengan set harness kustom rekaan Fadec yang lebih kemas.

Jika dulu kotak gear FWD Lantis sering jadi pilihan, kini keseluruhan sistem pacuan AWD Interplay GT-R boleh dibawa naik tanpa perlu diubahsuai. Untuk mengelak kejadian bersepah ketika memecut, bahagian kotak gearnya telah dilapik set klac dari Ogura Racing.

Selaku orang lama yang sudah 8 tahun bergelumang dengan corak modifikasi model yang sama, kesungguhan Kucit menghidupkan kembali kereta ini sememangnya harus dipuji. Hanya mereka yang benar-benar kental saja, sanggup bersusah payah melakukan semua ini…

GALERI

Google ads
Back to top button