Motosikal

SIAPA MAMPU MENGHALANG MARQUEZ DARI MENJADI JUARA KALI KELIMA MOTOGP?

Marc Marquez dari pasukan Repsol Honda pernah mengesahkan kejuaraan beliau di litar bersejarah Honda sebelum ini dan kali ini untuk musim 2018 beliau sekali lagi berpeluang melakukannya pada Motul Grand Prix of Japan. Jika beliau mendapat mata dan berada di hadapan Andrea Dovizioso (Ducati Team), Marquez akan bergelar juara dunia kali ke tujuh (kali kelima dalam kelas MotoGP). Litar Twin Ring Motegi akan menjadi saksi kehebatan pelumba dari Sepanyol ini.

Bagi Dovizioso pula, misi beliau mudah sahaja. Beliau mesti berada di hadapan Marquez jika berhasrat untuk mencapai kemenangan. Dovizioso turut mempunyai rekod cemerlang di litar ini dengan dua kali merebut petak pertama pada tahun 2010 dan 2014. Beliau juga memperolehi kemenangan di litar ini pada musim lepas. Siapa yang mampu melupakan aksi persaingan beliau dan Marquez dalam hujan pada masa itu. Dovizioso menang dengan bergaya meninggalkan Marquez dalam persaingan ketika hujan renyai-renyai.

Bagaimana pula dengan Valentino Rossi? Lagenda Itali ini masih kelihatan konsisten walaupun dilanda pelbagai masalah. Untuk merebut kejuaraan rasanya sudah agak terlambat buat Rossi tetapi kehebatan beliau di litar ini juga tidak perlu dipertikaikan. Rossi juga merupakan bekas juara di litar ini.

Adakah Yamaha akan bertambah baik selepas perlumbaan di Buriram sebelum ini? mereka kelihatan lebih positif selepas perlumbaan di Thailand dan semestinya berharap untuk mencatat kemenangan di litar kepunyaan saingan terdekat mereka, Honda.

BACA: MENANGI TIKET GRANDSTAND & HILLSTAND MOTOGP 2018 DENGAN DUCATI MALAYSIA

Seorang lagi calon pemenang dalam perlumbaan kali ini ialah Jorge Lorenzo dari pasukan Ducati. Walaupun baru beransur pulih selepas kemalangan di Aragon, beliau tidak memilih untuk berehat di rumah tetapi masih menyertai perlumbaan di Buriram sebelum motosikalnya ditimpa masalah teknikal.

Lorenzo juga mempunyai rekod cemerlang di Jepun dan sudah semestinya akan turut memberikan cabaran pada perlumbaan hujung minggu ini. Dengan kata lain perlumbaan di Motegi ini memang bakal menjadi penentu kepada kejuaraan musim ini.

Kredit MotoGP.com

Google ads
Back to top button