MAZDA HENTIKAN PRODUKSI CX-3, GANTI DENGAN CX-30
Mazda dilapor bakal menghentikan produksi crossover pling kecilnya, CX-3 selepas model tahun 2021. Perkembangan itu tidaklah mengejutkan kerana jentera berkenaan akan diganti dengan CX-30 yang lebih besar, berkuasa dan mewah.
CX-30 dibina berasaskan kepada platform Mazda3. Manakala CX-3 menggunakan platform Mazda2. Sebab itulah ruang kabinnya jauh lebih sempit.
Sejak dilancarkan pada tahun 2016, tidak banyak penambahbaikan diterima oleh CX-3. Mazda juga menawarkannya dalam satu varian sahaja.
Antara ciri yang ditambah pada model terbaharunya ialah ketersambungan Apple CarPlay, Android Auto, kamera 360 darjah dan sistem keselamatan i-activesense. Namun, ia tidak cukup untuk mengujakan pembeli.
Dalam perkembangan berkaitan, Mazda Amerika mengesahkan tidak akan menawarkan CX-3 dan sedan Mazda6 mulai tahun depan di sana.
Mazda menyatakan langkah itu dibuat berdasarkan kepada perubahan minat pengguna. Pada masa yang sama mahu terus menawarkan produk yang cantik dan seronok dipandu kepada pelanggan.