Buletin

MAZDA CX-3 FACELIFT 2021. APPLE CARPLAY & ANDROID AUTO, KAMERA 360, i-ACTIVESENSE. BERMULA RM130,729 SEUNIT

Bermaz Motor hari ini melancarkan crossover CX-3 facelift yang tampil dengan pelbagai bentuk penambahbaikan pada bahagian dalaman dan luarannya. 

Antara pembaharuan yang diterima oleh crossover kompak berkenaan ialah ciri ketersambungan Apple CarPlay, Android Auto, kamera 360 darjah, selain gabungan tepat duduk dibalut kulit dan fabrik sebagai standard. 

Ciri premium lain yang dipasang ialah paparan warna penuh bersaiz 7 inci Active Driving Display dengan Mazda Connect, Bluetooth untuk telefon dan audio serta sistem bunyi bersama enam unit pembesar suara. Semua ciri tersebut boleh diakses dengan mudah menerusi dial bulat pada konsol tengah atau butang di stereng. 

Dari segi penampilan pula, jentera itu kini dipasang dengan semua lampu LED untuk lampu utama, lampu belakang dan lampu nyalaan siang (DRL). Lampu utama pula hadir dengan ciri on/off automatik dan pelaras ketinggian sendiri. CX-3 juga dilengkapi bumbung suria berkuasa dan sensor parkir di bahagian hadapan. 

Penampilan CX-3 2021 disempurnakan lagi dengan penggunaan rim aloi bersaiz 18 inci, spoiler belakang, antena jenis shark fin, tip ekzos besi tahan karat dan rekaan gril hadapan berwarna hitam.  

Dari segi keselamatan, CX-3 dilengkapi barisan ciri standard termasuklah 6 beg udarra, ABS, Dynamic Stability Control, Traction Control System (TCS), Emergency Stop Signal (ESS) dan Hill Launch Assist (HLA). Tidak cukup? Crossover itu juga hadir dengan sistem keselamatan i-ACTIVESENSE yang merangkumi Blind Spot Monitoring dan Rear Cross Traffic Alert (RCTA). 

Antara ciri keselamatan yang baru ditambah ialah High Beam Control (HBC), Lane Departure Warning System (LDW), Driver Attention Alert (DAA) serta Smart City Brake Support pada roda hadapan dan belakang. 

CX-3 masih menggunakan enjin yang sama iaitu SKYACTIV-G 2.0 berkuasa 154hp dan dan tork 206Nm bermula 2,800rpm. Enjin itu kemudian dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan automatik untuk pecutan yang mengujakan bersama teknologi G-Vectoring Control (GVC) Mazda. 

Didatangkan dalam bentuk import sepenuhnya (CBU) dari Jepun, anda boleh memilih CX-3 dengan warna merah,putih mutiara, biru gelap, kelabu dan kelabu polymetal. 

CX-3 sudah boleh ditempah mulai sekarang. Bakal tiba pada Julai depan, ia ditawarkan pada harga bermula RM130,729 seunit (termasuk 50 peratus pengecualian cukai SST). Pelanggan yang membuat tempahan mulai sekarang hingga 30 Jun 2021 layak untuk mendapat harga pengecualian cukai tersebut. 

Jentera itu hadir dengan jaminan dan penyelenggaraan percuma selama lima tahun atau perbatuan sejauh 100,000km (mana-mana tiba dahulu). 

GALERI

Google ads
Back to top button