Buletin

MAZDA LANCAR KEI-CAR CAROL DI JEPUN. REBADGE SUZUKI ALTO. 3.6L/100KM, BERMULA RM36.K

Mazda baru-baru ini memperkenalkan model kei-car Carol ke pasaran Jepun dengan pilihan rangkaian kuasa mild-hybrid.

Carol mula dilancarkan pada tahun 1962 sebagai kei-car pertama Mazda. Mulai tahun 1980 sehingga kini, ia dihasilkan oleh Suzuki sebagai versi rebadge Alto. Selepas Alto tampil dengan generasi baharu bulan lalu, kini tiba masa untuk Carol menerima penambahbaikan sama.

Maka, tidak hairanlah jika kedua-duanya tidak banyak berbeza. Antara perbezaannya ialah Carol tidak dipasang dengan kemasan krom pada bahagian hadapan seperti Alto.   

Rekaan badan berkotak dan comel dikekalkan. Dari segi dimensi, Carol adalah 3,395mm panjang, 1,475mm lebar dan 1,525mm tinggi dengan tapak roda 2,460mm.

Mazda menawarkan Carol dalam tiga varian iaitu GL, Hybrid GS dan Hybrid GX. Varian GL menggunakan enjin petrol tiga silinder bersesaran 660cc berkuasa 48hp.

Kuasa itu kemudian disalurkan ke roda hadapan atau sistem pacuan empat roda menerusi kotak gear CVT. Varian hibrid pula ditambah dengan satu pek bateri lithium-ion dan integrated starter generator (ISG) yang mampu menjana kuasa 2.5hp. Penggunaan bahan api cukup jimat iaitu sekitar 3.6 liter bagi setiap 100km.

Kabin menawarkan banyak ruang penyimpanan barang. Aspek keselamatan pula terdiri daripada enam beg udara, sistem ADAS asas yang merangkumi sistem sokongan brek dua kamera, Lane Departure Warning, High Beam Assist dan brek sokongan ketika mengundur.

Carol tidak menerima sistem infotaimen bersaiz 7 inci seperti Alto. Sebaliknya, ruang itu ditutup dengan panel plastik. Namun, varian lebih mahal dipasang dengan lampu utama LED, rim 14 inci dan pendingin hawa automatik.  

Mazda Carol bakal berada di pasaran bermula pertengahan Januari 2022. Harga pula bermula ¥998,800 (RM36,600) sehingga ¥1,303,500 (RM47,800) seunit, tidak jauh berbeza dengan Suzuki Alto varian hibrid.

Google ads
Back to top button