" "
Buletin

MAZDA MX-5 RF 2022 DENGAN CIRI KINEMATIC POSTURE CONTROL KINI DI MALAYSIA. BERMULA RM264K

Bermaz Motor baru-baru ini mengumumkan ketibaan roadster popularnya, Mazda MX-5 RF yang dilengkapi dengan ciri baharu. Model tahun 2022 itu dipertingkatkan dengan teknologi yang akan membuatkan pemanduannya semakin mantap. 

Jentera ringan dengan pacuan roda belakang itu dipasang dengan sistem yang dikenali sebagai Kinematic Posture Control (KPC). Khusus untuk MX-5, KPC boleh didapati pada varian automatik dan manual. 

Menawarkan keselesaan dan kestabilan, suspensi belakang tersebut direka untuk menghasilkan kuasa ‘anti-terangkat’ yang memaksa kereta tetap berada di atas jalan apabila brek ditekan. 

KPC memanfaatkan karekteristik suspensi berkenaan dan mengenakan sedikit kuasa membrek pada bahagian dalam roda belajang apabila selekoh diambil dengan kuasa G-force yang tinggi. Jadi, ia memastikan kereta kekal stabil dan kurang olengan. 

Spesifikasi lain  MX-5 RF 2022 tidak berubah. Ia masih menggunakan enjin Skyactiv-G 2.0 liter yang mampu menjana 181hp dengan pecutan maksimum 220km/j. Enjin itu kemudian dipadankan dengan kotak gear automatik atau manual enam kelajuan bersama ciri paddle shifter, 

Memiliki nisbah kuasa-berat dan bahagian hadapan/belakang yang seimbang, roadster itu memang menjanjikan keseronakan setiap kali dipandu.

Ciri-ciri standard yang lain termasuklah Apple Carplay tanpa wayar serta sistem keselamatan i-Activsense seperti lampu utama LED adaptif, Blind Spot Monitoring (BSM), Rear Cross-Traffic Alert (RCTA), Smart City Brake Support (SCBS), Driver Attention Alert (DAA) dan Lane Departure Warning System (LDWS).

Jentera yang tampil dengan bahasa rekaan KODO: the Soul of Motion itu boleh didapati dalam beberapa pilihan warna iaitu merah, kelabu, putih mutiara, biru dan hitam. 

Mazda MX-5 RF 2022 yang didatangkan dalam bentuk CBU dari Jepun boleh anda miliki pada harga bermula RM264,029 (MT) dan RM265,964 (AT), termasuk pengurangan SST sebanyak 50 peratus yang sah sehingga 30 Jun 2022. 

Sama seperti model-model baharu Mazda yang lain, ia hadir dengan jaminan dan penyelenggaraan percuma selama lima tahun atau perbatuan sejauh 100,000km (mana-mana tiba dahulu). 

GALERI

Google ads
Back to top button