Artikel Pilihan

SEGALANYA TENTANG MAZDA MX-5 MIATA – BAHAGIAN 1

Kereta dicipta untuk menggantikan wagon yang ditarik dengan kuda ataupun keldai bagi bergerak dari titik A ke titik B. Bagi sesetengah individu, mereka perlukan kereta untuk membawa barang mereka bersama. Namun tidak semua pemandu perlukan kereta untuk bergerak perlahan.

“Men loves women, but mens love fast car more than women” itu antara dialog dalam filem Rush yang diucapkan oleh Lord Hesketh. Jadi tidak hairanlah wujud segelintir golongan yang sukakan kereta yang boleh dipandu laju di dalam perlumbaan.

Di United Kingdom, walaupun wujud jenama prestasi tinggi dan laju seperti Aston Martin dan juga Jaguar, harganya di luar jangkauan rakyat biasa. Rakyat perlukan sebuah kereta sport yang biasa, walaupun tidak boleh dipandu laju namun ia memberikan aliran adrenalin meluncur laju ketika dipandu. Maka wujudlah kereta seperti MG MGB dan Triumph Spitfire.

Bob bersama lakaran asal Miata

Pemandu memilih kereta ini untuk dipandu dengan laju walaupun hanya diberikan enjin yang kecil sahaja dengan cesi yang ringan dan sistem gantungan yang kemas, ia amat menyeronokkan apabila dipandu laju di selekoh. Ditambah pula dengan posisi kusyen yang rapat ke lantai, ia merendahkan pusat graviti kereta.

Kereta ini dibeli untuk keseronokan pemanduan dan aspek praktikaliti mungkin jatuh pada nombor 2. Bob Hall, satu nama yang agak jarang didengari, namun mempunyai sumbangan yang besar dalam membangunkan kereta sport 2 pintu atas jenama Mazda.

Ketika waktu kecil, Bob Hall dan ayahnya sering mengembara dan memandu Austin Healy. Pada masa yang sama keluarga Bob turut memiliki Volvo dan Datsun 510. Apa yang Bob perasan ialah Austin Healy walaupun seronok dipandu namun ianya tidak boleh diharap. Pernah sekali Bob dan ayahnya tersadai di tepi jalan akibat pam petrol mengalami kerosakan

Kenichi Yamamoto

Bob mendapati kualiti kereta Jepun adalah bagus namun ia sangat membosankan. Ia menjalankan tugas dengan baik, namun ia tidak memiliki karekter dan jiwa. Ketika di sekolah menengah tinggi, Bob mengambil peluang untuk ke Jepun sebagai pelajar pertukaran selama 6 minggu.

Apabila pulang ke Los Angeles, Bob belajar membaca dan bertutur bahasa Jepun dengan menggunakan komik manga dan menonton filem bahasa Jepun. Paling kelakar dia membawa bersama kamus dwibahasa Jepun bersamanya. Bersama minat dengan kereta dan budaya Jepun membolehkan Bob mendapatkan pekerjaan pertamanya dengan majalah Motor Trend.

Disebabkan kepakarannya dalam budaya dan automotif Jepun, Bob berpeluang bertemu dengan Kenichi Yamamoto pada tahun 1976. Ketika ini Bob mengambil keputusan untuk mengembangkan kariernya dalam bidang automotif. Mazda menawarkan satu posisi di unit Kajian dan Pembangunan di unit Pembangunan Produk.

Pada 21 Oktober 1981 Bob menyertai kumpulan Mazda Amerika. Kebiasaannya jika anda memiliki pengalaman dalam kewartawanan anda akan ditempatkan di Jabatan Perhubungan Awam. Namun Bob ditempatkan di jabatan rekabentuk di bawah seliaan Mr Kenichi Yamamoto.

Langkah pertama yang dibuat oleh Bob apabila bertanggung jawab di jabatan rekabentuk Mazda Amerika ialah menggandakan jumlah designer yang bekerja di jabatan tersebut. Ketika perbincangan antara Bob dengan Yamamoto, dia mencadangkan agar Mazda membangunkan sebuah kereta sport mampu milik 2 pintu.

Kuasa bukan faktor utama dan ianya boleh dikuasakan dengan enjin 4 silinder sahaja dan sudah tentu dengan pacuan roda belakang. Ketika itu juga Toyota baru sahaja melancarkan kereta sport kecil 2 pintu iaitu Toyota MRS dengan enjin yang berada di belakang, namun Mazda memilih untuk menggunakan susun atur FR berbanding dengan MR. Takkan nak tiru Toyota.

Idea ini diperam selama bertahun-tahun kerana Kouhei Matsuda yang mengetuai Mazda Amerika menolak idea membangunkan sebuah kereta sport dengan inspirasi kereta sport British. Siapa pernah bekerja dengan Jepun akan biasa dengan perkara ini, biasalah orang tua susah sikit nak dengar idea gila-gila.

Sehinggalah apabila Mr Yamamoto sendiri naik pangkat dan mengetuai Mazda, barulah Bob diberi lampu hijau untuk meneruskan projek ini. Ya konsep kereta Mazda Miata diilhamkan oleh Bob Hall, namun jika ditanya kepada Bob, dia akan memberikan satu nama lain iaitu Toshihiko Hirai

Bob memberi idea untuk membangunkan sebuah kereta bermula dari kosong iaitu dengan lukisan, model tanah liat dan sehinggalah kepada kereta konsep Mazda dan dia memerlukan sekampung jurutera dan jurureka bentuk. Bob memastikan idea konsep ini disampaikan kepada pihak atasan bagi meluluskan rancangan tersebut

Toshihiko Hirai (kiri) & Takao Kijima Ketua Jurutera MX-5 NB & NC

Pada tahun 1982 Bob menghantar satu kertas kerja kepada Mazda HQ. Ia mengandungi cadangan membina sebuah kereta sport ringan dengan menggunakan platform Mazda 323 sedan. Tujuannya agar kos kajian, pembangunan dan penghasilan model baru ini menjadi murah

Kertas cadangan tersebut menggariskan beberapa idea seperti enjin 4 silinder, menggunakan transmisi yang sedia ada pada Mazda, sistem suspensi depan yang ringkas dan live rear axle pada bahagian belakang. Namun apa yang mengejutkan Bob ialah Mazda mencadangkan sistem suspensi bebas seperti double wishbone digunakan.

Mr Hirai kemudian dilantik sebagai Pengurus Program pembangunan model baru kereta sport Mazda iaitu Mazda MX-5 ataupun lebih dikenali dengan nama Miata. Apa yang menariknya berkenaan Miata ialah ia diilhamkan oleh warganegara Amerika, dibawah jenama Jepun dengan inspirasi kereta sport British.

Mr Yamamoto memberi kebebasan kepada Bob untuk memulakan kerja rekabentuk kereta sport Mazda. Walaupun waktu bekerja Mazda ialah 8.30am ke 5.30pm, Bob memulakan kerja bagi tujuan rekaan tersebut bermula 6am sehingga 6.30pm. Ideanya mudah, kereta sport 2 tempat duduk dengan cesi yang ringan.

Bob mengambil lagi seorang jurureka bentuk baru yang bernama Mark Jordan bagi menghasilkan rekaan MX-5. Namun Mazda tidak mengharapkan pasukan Bob Hall sahaja. 2 lagi studio rekaan Mazda di Jepun akan cuba bertanding dengan studio rekaan Bob di California. Rekaan yang terbaik akan menang.

Sebaik sahaja model tanah liat skala penuh ditunjukkan kepada pengurusan Mazda Jepun, dengan keupayaan rekaan softop dan hardtop 2 pintu maka penguruasan Mazda Jepun bersetuju dengan idea Bob. Mr Hirai iaitu bekas ketua program Mazda 323 mengetuai aspek kejuruteraan projek ini.

Mark Jordan

Selepas prototaip kereta ini disiapkan di California, rekaan luaran kereta ini diperhalusi Masao Yagi. Seperti yang telah disebut tadi, rekaan awal kereta ini diilhamkan oleh Mark Jordan. Namun Yagi mengangkat rekaan Mark yang diilhamkan daripada Ferrari 275GTB dengan gaya yang minimalis mirip kepada Lotus Elan.

Oleh kerana tiada satupun kereta sport 2 pintu yang ringan dihasilkan pada ketika itu, maka agak sukar bagi Hirai dan pasukannya menghasilkan dinamik pemanduan baru bagi Miata. Maka Mr. Hirai memperkenalkan konsep Jinba-Ittai bagi meletakkan batu asas dinamik pemanduan MX-5.

Hirai pula dibantu oleh Tetsu Kasahara yang ketika itu baru empat tahun bekerja bersama-sama dengan Mazda. Kasahara ketika itu bertugas di Chassis Dynamics Development Department bersama dengan Hirai ketika konsep Jinba Ittai diperkenalkan.

Jinba Ittai

Jinba Ittai menerangkan bahawa wujudnya satu hubungan komunikasi yang harmoni antara penunggang kuda dan kuda yang ditunggang. Hubungan tersebut hanya dapat dihasilkan melalui minat yang mendalam dan kepakaran Mazda dalam menghasilkan kualiti pemanduan yang sempurna

Perkataan Jinba Ittai juga membawa maksud penyatuan antara kuda dan pemanah mula dicetak di atas kad nama Hirai. Semenjak dari itu Jinba Ittai mula disebut oleh pihak luar selain daripada Mazda. Dalam seni peperangan Jepun, jinba ittai membolehkan penunggang kuda memanah sasaran dengan tepat pada musuh ketika menunggang kuda.

Kasahara menyedari bahawa dinamik pemanduan Miata boleh dibuat agar ia menzahirkan perasaan gembira ketika dipandu, bukannya dipandu laju ketika melalui litar lumba. Setiap hari Kasahara memandu prototaip Miata di Miyoshi Proving Ground, mengubah tetapan stering, penyerap hentak sehinggalah mengukur suhu permukaan tayar.

Tetsu Kasahara

Sehinggalah pada satu hari Kasahara mengatakan dia tidak lagi merasai kewujudan kereta tersebut, melainkan kereta tersebut menjadi sebahagian daripada dirinya. Tiada lagi rasa pelik ketika memandu Miata. Ketika itulah dia merasakan Miata sudah menemui talaan yang tepat dalam semua aspek pengendalian

Produk akhir Miata ialah sebuah kereta roadster 2 pintu dengan 2 tempat duduk dengan berat sekitar 960kg sahaja. Kurang 20kg berbanding dengan Myvi generasi pertama. Ia kekal dengan konsep asalnya iaitu enjin diletakkan di depan dan dipacu dengan tayar belakang.

Terdapat 2 pilihan enjin pada Miata generasi pertama yang lebih dikenali dengan nama Mazda MX-5 Miata NA. Enjin yang ditawarkan ialah samaada 1600cc dengan kuasa 115 kuasa kuda ataupun enjin 1800cc menawarkan 129 kuasa kuda.

Terdapat 2 pilihan transmisi samaada 5 kelajuan manual ataupun 4 kelajuan automatik. Suspensi depan dan belakang menggunakan suspensi double wishbone dengan kesemua tayar mendapat sistem brek cakera. Sistem LSD hanya ditawarkan pada transmisi manual sahaja.

Di Amerika MX5 Miata ditawarkan pada harga permulaan kurang dari USD 14,000 sahaja. Untuk mencapai harga tersebut ia ditawarkan hanya dengan rim besi, stering manual tanpa kuasa, cermin manual, tiada radio ataupun sistem penyaman udara dipasang. Namun jangan risau, pop up headlamp masih kekal menjadi identiti MX5 Miata.

Dari segi prestasi, ia mampu melakukan pecutan dari 0-100km/j dalam masa 8.3 saat dan halaju maksimum 203km/j. Mazda mula menunjukkan MX5 dalam penampilan sulungnya di Chicago Autoshow 1989. Pengedar di Amerika mula dibanjiri dengan tempahan luar dugaan, permintaan melebihi penawaran

Siapa sangka kereta sport kecil 2 pintu dengan enjin 4 silinder mampu melakukan kejutan. Ideanya diilhamkan oleh Bob Hall, dilakar oleh Mark Jordan, rekaannya dikemaskan oleh Masao Yagi. Pengendaliannya diketuai oleh Toshihiko Hirai dan disempurnakan oleh Tetsu Kasahara.

Dalam artikel seterusnya kita akan menyusuri sejarah Mazda MX5 Miata NA, NB, NC dan juga ND. Untuk pengetahuan pembaca, Bob Hall pernah bertugas di Proton sebagai Head of Product Planning and Program Engineering dari tahun 2004-2011

Kalau rasa MX5 tak cukup laju, nah ini video MX-5 NC 2000cc tengah cucuk rapat Porsche di Nurburgring

Google ads
Back to top button