Buletin

MAZDA NAK BUAT BANYAK SUV: CX-50, CX-60, CX-70, CX-80, CX-90!

Adakah pasaran automotif sekarang dilanda demam SUV? Jawapnya bukan sekarang tetapi sudah bermula beberapa tahun dahulu.

Paling mudah lihat sahaja SUV Proton X70 dan X50 yang harganya bukan biasa-biasa tetapi mendapat sambutan baik.

Selain itu, ada pengeluar yang majoriti portfolionya adalah SUV.

Sebagai contoh Mitsubishi yang hanya mempunyai sedan Mirage G4 (Attrage) dan itu pun sudah berusia.

Di antara penyebab kepada fenomena ini ialah perubahan citarasa pengguna selain praktikaliti dan sebagainya.

Lagi pengeluar condong kepada SUV ialah Mazda yang baru sahaja mengumumkan perancangan untuk memperkenalkan model-model SUV baharu bermula dari tahun depan

Dua model baharu dari siri Produk Besar (Large Product) iaitu CX-60 dan CX-80 bakal diperkenalkan di Eropah dalam tempoh dua tahun akan datang.

Pada masa yang sama, Mazda akan memperkenalkan dua model badan lebar CX-70 dan CX-90 dan CX-50 dari siri platform kecil di Amerika Syarikat dan beberapa pasaran selain Eropah

Mazda percaya CX-60 dan CX-80 akan mencetus perkembangan perniagaan yang positif dalam jangka masa sederhana dan panjang untuk syarikat.

Berikut ialah maklumat ringkas tentang Mazda CX-50, CX-60, CX-70, CX-80 dan CX-90:

  • Dua baris tempat duduk untuk CX-60 dan CX-70, tiga baris tempat duduk untuk CX-80 dan CX-90. 
  • Rangkaian kuasa plug-in hybrid dengan enjin petrol dan motor elektrik.
  • Turut ditawarkan enjin petrol enam silinder sebaris Skyactiv-X baharu, enjin diesel Skyactiv-D dan dengan sistem mild hybrid 48V.
  • CX-50 dan CX-70 adalah model baharu dan tambahan kepada portfolio Mazda di AS.
  • CX-90 menggantikan CX-9 sebagai SUV tiga baris tempat duduk di AS.
  • CX-50 bakal diperkenal di AS pada November. Menggunakan platform sama seperti CX-30 dan Mazda3.

Seperkara lagi yang menarik ialah Mazda mahu memperkenalkan model elektrik MX-30 yang menggunakan enjin rotary sebagai penjana (generator) pada setengah tahun pertama 2022.

Bagaimana enjin rotary berfungsi sebagai penjana? Mazda belum lagi mendedahkan butiran terperinci dan ia perkara menarik untuk dipelajari.

Masih lagi tentang EV, Mazda akan memperkenalkan beberapa lagi model yang menggunakan platform EV khusus bermula dari tahun 2025.

Menjelang tahun 2030, Mazda mahu kesemua produknya menggunakan teknologi elektrifikasi.

Selain bercakap tentang masa depan, Mazda juga memaklumkan model sedia CX-5 akan terus menjadi model utama syarikat di peringkat global.

Mana boleh lupakan begitu sahaja, CX-5 adalah di antara pencetus semula kegemilangan Mazda di persada antarabangsa termasuk di negara kita.

Jika tidak disebut model-model di atas pun, Mazda sememangnya mempunyai barisan SUV lengkap seperti CX-3, CX-30, CX-4 (China), CX-5, CX-7, CX-8, CX-9 dan EV MX-30.

Berapa jumlahnya? Satu, dua, tiga, empat…ada lapan kesemuanya!

Google ads
Back to top button