Artikel Pilihan

MAZDA SKOR CEMERLANG UJIAN KEMALANGAN EURO NCAP

Mazda CX-30 merupakan crossover yang direka berdasarkan Mazda 3 telahpun mulai dipamerkan sebagau unit import CBU di pusat pameran Mazda terpilih hari ini. Ia ditawarkan dalam 3 versi dengan harga paling murah ialah RM 143,129 bagi versi petrol 2000cc. Pada mata penulis, ia lebih anggun dan segak berbanding dengan Mazda3 liftback dan sedan.

Pada bulan lepas badan pemantau Euro NCAP telah mengumumkan keputusan ujian perlanggaran crossover ini sebelum ia mula dijual di Eropah. Secara kasar, ujian Euro NCAP adalah lebih ekstensif dan sukar berbanding dengan ujian yang dijalankan oleh NCAP dari benua lain. Secara keseluruhan Mazda CX-30 mendapat skor 5 bintang bagi semua ujian yang dijalankan.

Bagi perlindungan penumpang dewasa, Mazda CX-30 berjaya mendapat skor 99% daripada markah penuh 100%. Secara perbandingan Volvo XC40 mendapat skor 97%. Bagi perlindungan kanak-kanak, Mazda CX-30 mendapat skor 86%, iaitu kurang 1% berbanding Volvo XC40 dan 2% kurang daripada Mercedez Benz GLB. Terdapat 2 poin pemasangan ISOFIX pada barisan tempat duduk kedua.

Bagi perlindungan pengguna jalan raya lain yang berisiko tinggi seperti pejalan kaki, penunggang basikal dan juga peserta demonstrasi (eh) Mazda CX-30 berjaya mendapat skor 80% berbanding dengan XC40 71%, BMW X3 71% dan Mercedes Benz GLB 78%. Dalam teknologi mengelakkan kemalangan Mazda turut memasang Advanced Safety Technology pada MAzda CX-30.

Sistem ini merangkumi sistem lampu hadapan adaptif, sistem kawalan lampu tinggi, sistem kawalan titik buta, sistem amaran lintasan belakang, brek pra-perlanggaran depan, brek pra-perlanggaran belakang, sistem pemantauan pemandu, dan juga sistem pemanduan adaptif. Ia membolehkan Mazda mendapat skor 77% iaitu 1% lebih tinggi daripada XC40 dan 3% lebih baik berbanding Mercedes Benz GLB. BMW X3 hanya mendapat skor 58% dalam kategori ini.

Bukan calang calang pencapaian Mazda CX-30 kali ini. Keputusan yang diumumkan oleh Euro NCAP ini membuktikan Mazda merupakan jenama premium yang setara dengan jenama mewah daripada Eropah dan bukan lagi bersaing dengan jenama Jepun yang lain. Anda boleh tonton video ujian kemalangan Mazda CX-30 di bawah.

Google ads
Back to top button