Buletin

MAZDA UMUM PRODUKSI MAZDA6 DITAMATKAN DI PASARAN AUSTRALIA

Mazda secara rasmi mengumumkan bahawa model Mazda6 sedan dan wagon akan ditamatkan di pasaran Australia berikutan isu pematuhan terhadap peraturan baharu yang berkuat kuasa pada 1 Mac 2025.

Langkah ini mengikuti jejak Mitsubishi, di mana pengeluar berkenaan turut menghentikan beberapa modelnya atas sebab yang sama.

Walaupun Mazda6 versi Australia dilengkapi dengan sistem brek kecemasan automatik (AEB) dan pelbagai teknologi bantuan pemandu (ADAS), ciri-ciri ini tidak memenuhi piawaian Australian Design Rule 98/00 yang semakin ketat.

Keputusan ini menjadikan Australia sebagai pasaran terbaharu yang menyaksikan pengunduran Mazda6 selepas model ini dihentikan di Amerika Utara pada 2021, diikuti UK pada 2023 dan Jepun pada 2024.

Biarpun produksi telah berakhir, Mazda Australia menegaskan bahawa stok model ini masih mencukupi untuk pasaran tempatan dalam semua varian.

Sejak dilancarkan pada 2002, Mazda6 telah terjual hampir 150,000 unit di Australia dalam tempoh 22 tahun.

Namun, trend pasaran menunjukkan peralihan ketara ke arah SUV, dengan hanya 1,354 unit Mazda6 terjual pada 2024 berbanding kemuncaknya pada 2005 dengan 15,000 unit.

Pengarah urusan Mazda Australia, Vinesh Bhindi, menyatakan penghargaan terhadap model ini yang banyak menyumbang kepada jenama Mazda.

“Walaupun pasaran kini lebih cenderung kepada SUV, Mazda6 tetap menjadi model ikonik yang dihargai peminat setia dan pemandu. Legasi Mazda6 akan terus dikenang seiring dengan strategi masa depan kami,” katanya.

Tiada pengganti rasmi diumumkan bagi Mazda6, tetapi Mazda kini menumpukan usaha kepada strategi pelbagai penyelesaian, termasuk enjin pembakaran dalaman (ICE), hibrid ringan (MHEV) dan plug-in hybrid (PHEV).

Selepas pengunduran dari Australia, Mazda6 masih ditawarkan di beberapa pasaran seperti Indonesia, Malaysia dan Thailand, tetapi dengan usianya yang semakin lanjut, hayat model ini dijangka tidak bertahan lama.

Google ads
Back to top button