
POLIS KENTUCKY GUNA PENDEKATAN BAHARU RAMPAS KERETA PESALAH TRAFIK
Undang-undang baru yang dilaksanakan di Kentucy membolehkan pihak berkuasa merampas kereta pesalah trafik dengan pendekatan yang berbeza.
Menurut laporan, Louisville Metro Police Department telah berjaya menggunakan pendekatan tersebut untuk merampas sebuah kereta jenis Dodge Challenger Hellcat Redeye selepas memperoleh video bukti kereta itu melakukan pemanduan aksi bahaya di Shawnee Park.
Ia bukan sekadar proses rampasan membuta tuli semata-mata.
Pihak polis turut membandingkan dengan sebuah lagi video bukti dari persimpangan Preston dan Witherspoon untuk menentukan kereta tersebut merupakan kereta yang sama, dan dalam video kedua, kereta Dodge itu didapati melanggar beberapa orang pejalan kaki.
Mengikut undang-undang terbaharu, ia membolehkan polis merampas kereta pesalah dan mengenakan denda sehingga maksimum $2,000. Polis juga dibenarkan untuk menyimpan kereta pesalah selama tempoh enam bulan.
Penggunaan teknologi baharu dalam pendekatan ini tidak didedahkan, namun besar kemungkinan pihak berkuasa mendapatkan bukti daripada video yang dimuatnaik dalam media sosial, serta rakaman daripada peronda udara yang menggunakan helikopter.
Sehingga ke saat ini, sekurang-kurangnya 35 unit kenderaan telah dirampas, dan angka tersebut dijangka meningkat dalam beberapa minggu akan datang. – Carscoops