Buletin

MBM LANCAR S-CLASS PLUG-IN HYBRID PERTAMA, S 560 E – RM658,888 SEUNIT

Mercedes-Benz Malaysia hari ini melancarkan S-Class Plug-in-Hybrid yang pertama, S 560 e ke pasaran tempatan.

Sedan mewah itu hadir dengan sistem plug-in hybrid generasi baru yang bukan sahaja efisien, malah telah ditambah baik dari segi kuasa dan jaraknya.

S 560 e boleh anda miliki pada harga anggaran RM658,888 seunit.

Menjadi penambahan terbaharu dalam keluarga S-Class, Mercedes-Benz S 560 e dijana oleh enjin V6 berkuasa 367hp dengan kuasa elektrik 122hp (90kW). Enjin itu kemudian dipadankan dengan kotak gear automatik 9G‑TRONIC PLUS 9-kelajuan.

Jentera itu mampu bergerak sejauh 50km dalam mode elektrik sepenuhnya. Terima kasih kepada pek bateri lithium-ion berkapasiti 13.5kWh.

Sebagai sebuah S Class, S 560 e menawarkan kemewahan dan keselesaan yang tiada tandingannya. Limosin itu dilengkapi kulit Nappa, pakej Exclusive dan kemasan kayu walnut.

Ia juga hadir dengan pakej Chauffeur yang menawarkan pelbagai pilihan untuk posisi tempat duduk yang sempurna.

Pakej itu meangkumi tempat duduk hadapan Chauffeur, perehat kepala mewah EASY ADJUST untuk penumpang hadapan dan perehat kaki yang dioperasi secara elektrik.

Penumpang belakang pula pasti berpuas hati dengan kerusi ekskutif dengan fungsi multi-contour.

Model plug-in hybrid itu dilengkapi spesifikasi mewah seperti kawalan suhu sebelum masuk kenderaan yang menetapkan pelbagai tetapan suhu (pendingin hawa, pemanas kerusi, stereng, perehat tangan dan ventilasi tempat duduk) untuk keselesaan maksimum.  

Bagi mereka yang berminat, mereka boleh memiliki sebuah S Class 560 e menerusi pakej pembiayaan Agility dengan bayaran bermula RM6,588 sebulan. Ia juga didatangkan dengan pelbagai pakej menarik.  

GALERI

Google ads
Back to top button