Buletin

MBM PREBIU MERCEDES-BENZ C 300 e DI MALAYSIA

Selain model S-Class plug-in hybrid S 560 e, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) turut memperkenalkan varian baharu dalam rangkaian model EQ Power iaitu C 300 e.

C 300 e menampilkan rangkaian kuasa plug-in hybrid terbaik daripada Mercedes-Benz dan menjadi ahli terkini dalam keluarga C-Class.

Sedan itu menggunakan khidmat enjin empat selinder sebaris bersesaran 2.0 liter yang mampu menjana kuasa 211hp pada 5,500rpm dengan tork maksimum 350Nm pada 1,200–1,400rpm.

Enjin petrol itu digabungkan dengan motor elektrik berkuasa 122hp untuk memberikan output sistem mencecah 320hp dan tork puncak 70Nm.

Rangkaian kuasa tersebut membolehkannya memecut dari 0-100km/j dalam masa hanya 5.4 saat dengan pecutan maksimum 250km/j.

Transmisi automatik 9G-TRONIC menjanjikan penghantaran kuasa yang lancar dan menjimatkan. Ia juga membolehkan sedan ini bergerak sejauh 52km dalam mode elektrik sepenuhnya.

C 300 e menggunakan bateri lithium-ion 13.5 kWh dengan kapasitinya telah ditingkatkan sebanyak 111 peratus berbanding bateri sebelumnya. Bateri ini hanya memerlukan masa selama 1 jam 50 minit untuk dicaj 100% menerusi pengecas Mercedes-Benz Wallbox.  

Dari segi penampilan luaran, sedan itu dipasang dengan rim AMG bersaiz 19 inci. Gayaannya diserlahkan lagi menerusi lampu utama MULTIBEAM LED, bumbung suria panoramik dan banyak lagi.

Kemewahan ruang kabin C 300 e jelas kelihatan dengan upholsteri kulit dan kemasan kayu berwarna hitam. Tidak ketinggalan, paparan instrumen bersaiz 12.3 inci dan papan tengah 10.25 inci.

Buat masa sekarang C 300 e hanya diprebiu oleh pihak MBM. Tarikh sebenar bila ia akan dilancarkan ke pasaran Malaysia akan diberitahu kelak.

GALERI

Google ads
Back to top button