Artikel Pilihan

MENGINTIP TEKNOLOGI APLIKASI PROTON X70 YANG MERIANGKAN

Pada tahun 1996, General Motor iaitu salah satu gergasi automotif Amerika telah mencipta satu trend baharu dalam teknologi, iaitu sambungan kenderaan ke rangkaian internet dengan aplikasi OnStar. Teknologi ini diperkenalkan melalui model Cadillac DeVille, Seville dan juga Eldorado.

OnStar merupakan satu aplikasi kerjasama antara Motorola dan juga GM dan tujuan utama penciptaan aplikasi ini ialah untuk tujuan keselamatan dan juga penghantaran bantuan kecemasan sekiranya pemandu terlibat dengan kemalangan.

Hipotesisnya ialah, semakin cepat bantuan dapat dihantar ke lokasi kemalangan, pemandu dan juga penumpang mempunyai peluang yang lebih tinggi untuk selamat.

Seperti biasa, Hollywood memberikan ilham bagaimana sambungan telefon ke kereta patut dilakukan seperti di dalam filem penyiasatan James Bond, Tomorrow Never Dies (maaf tiada kaitan dengan Agent Hunt).

James Bond di dalam filem ini mampu mengawal BMW 750 melalui telefon Ericcson bagi menghidupkan enjin, menggerakkan kereta, mengawal steering kereta, dan menembak roket.

Walaupun sekadar bayangan dalam filem, ia adalah permulaan sebuah imaginasi yang hebat daripada Hollywood bagaimana kereta boleh berinteraksi dengan pemandu.

Pada awalnya, sistem Onstar ini beroperasi hanya dengan menggunakan arahan dan panggilan suara ke pusat pemantauan. Namun seiring dengan perkembangan teknologi, sistem ini meningkatkan operasi, mampu menghantar lokasi Global Position System (GPS) kepada pusat arahan kecemasan.

Dengan kejayaan sistem Onstar, ia menjadi satu penanda aras kepada pengeluar kereta lain untuk mewujudkan satu sistem yang membolehkan pemandu dan kereta berkomunikasi melalui rangkaian internet.

Kemudian, pada tahun 2014, Audi berjaya pengeluar kereta yang berjaya menyambungkan data 4G LTE Wi-Fi kepada pengguna.

Walaupun Proton X70 tidak memiliki peranti pengimbas kad tol dan tidak boleh terbang pada tahun 2020, namun Proton X70 ada fungsi Remote Control.

Pemilik Proton X70 boleh berhubung dengan kereta melalui aplikasi yang dinamakan PROTON Link dan aplikasi ini boleh dimuat turun melalui Google Play Store di telefon pintar anda.

Selagi wujud capaian internet antara telefon pintar anda dan Proton X70 ini, anda masih boleh berkomunikasi dengan X70 walaupun anda berada di luar negara. Hebat kan?

Aplikasi ini membolehkan pemandu memantau perkara-perkara berikut:

  1. Lokasi kedudukan semasa kereta secara langsung.
  2. Jumlah perbatuan sebenar yang telah dilakukan oleh kereta.
  3. Baki petrol dan jarak anggaran yang boleh dilalui.
  4. Penggunaan semasa petrol dalam Liter/100km.
  5. Purata halaju semasa.
  6. Tekanan minyak pelincir.
  7. Baki Data internet semasa.

Tidak cukup dengan itu, PROTON Link juga boleh mengawal atau mengaktifkan beberapa perkara dengan bantuan sambungan internet seperti:

  1. Menyalakan lampu dan juga hon samaada untuk mengenalpasti lokasi kereta dan juga tujuan kecemasan.
  2. Membuka kunci pintu bagasi belakang.
  3. Membuka dan melipat cermin sisi.
  4. Membuka dan menurunkan cermin tingkap sisi untuk pengudaraan.
  5. Oleh kerana Proton X70 dilengkapi dengan sistem pemantauan GPS, ia boleh merekodkan data log perjalanan pemandu, dari titik A ke titik B.

Oh ya, berita ini merupakan berita buruk kepada sindiket pencuri kereta kerana dengan adanya sistem pemantauan GPS, sebaik sahaja X70 berjaya dilarikan atau ditunda sudah pasti pemilik akan membuat laporan polis bersama informasi kedudukan terkini X70 tersebut.

Pada hemat penulis, poin no 5 yang dinyatakan di atas adalah sangat mustahak bagi memantau pergerakan ahli keluarga yang keluar kerana saban hari terdapat beberapa kes kehilangan ahli keluarga selepas keluar dari rumah terutama bagi pemandu yang menghadapi penyakit Alzheimer.

Bagi pihak isteri, anda patut bersyukur dengan wujudnya PROTON Link kerana anda tidak lagi perlu meminta suami menghantar SITREP (situation report) pada setiap jam.

Buka sahaja aplikasi PROTON Link dan pantau pergerakan X70 di sekitar kedai mamak. Biarkan sahaja suami anda menonton liga Premier bersama rakan-rakanya dengan tenang walaupun pasukan kesayangan mereka bukan berada di kedudukan 3 teratas.

Mungkin suami anda perlukan masa untuk pulih selepas melihat pasukan mereka dibelasah teruk pihak lawan.

Google ads
Back to top button