Buletin

MELIHAT KAPITALIS BEKERJA: EKSPLOITASI LAUTAN DEMI KEUNTUNGAN PEMBUATAN EV

Setelah industri perlombongan tidak dapat memenuhi semua permintaan logam untuk pembuatan bateri EV, kini eksploitasi besar-besaran tertumpu pada bahagian paling sensitif dan terancam iaitu lautan.

Tidak masuk akal untuk mengancam kehidupan di lautan hanya untuk menguji 0-100km/j kenderaan elektrik. Namun, selagi ia memenuhi isi perut kapitalis, pertimbangan lain tidak begitu penting.

Menurut The Metals Company, dasar lautan antara Hawaii dan Mexico mampu menghasilkan nikel sulfat, kobalt sulfat, tembaga dan mangan selepas hanya 60 minit operasi. Ia boleh melombong 14 tan batu mengandungi logam pada kedalaman 150 meter.

Menurut laporan 2020 daripada jurnal sains alam, terdapat lebih suku bilion tan nikel dalam radius setengah juta kilometer persegi di kawasan lautan Zon Clarion-Clipperton. Ia hampir tiga kali ganda lebih banyak daripada di darat, serta terdapat lebih 500 peratus lagi kobalt di kawasan yang sama.

Ini mungkin kelihatan seperti mimpi menjadi kenyataan bagi pengilang, kerajaan dan syarikat perlombongan yang hauskan keuntungan. Tetapi kebenarannya ialah perlombongan rizab ini merosakkan salah satu kawasan biodiversiti paling kritikal.

Operasi perlombongan baharu ini ditentang keras oleh organisasi seperti Tabung Hidupan Liar Dunia (WWF).

“Memandangkan kita menghadapi risiko perubahan iklim, kehilangan biodiversiti dan gangguan ekonomi serta sosial, kita tidak seharusnya merosakkan lautan iaitu sumber asas kehidupan di bumi,” kata Arlo Hemphill daripada Greenpeace dalam satu kenyataan baru-baru ini.

“Kami percaya adalah bodoh dan tidak bertanggungjawab untuk mencadangkan pengharaman perlombongan dasar laut tanpa mempunyai pelan hala tuju alternatif boleh dipercayai untuk mendapatkan sumber logam ini.

“Kami belum mempunyai akses kepada jumlah mineral kritikal yang diperlukan melalui kitar semula,” kata pengasas bersama Impossible Metals dan Ketua Pegawai Kelestarian, Renee Grogan.

Kebanyakan pengeluar kenderaan utama termasuk BMW, Volkswagen, Volvo, Renault dan Rivian semuanya telah menandatangani moratorium perlombongan laut dalam yang dibuat pada akhir 2021 oleh WWF. Tetapi buat masa ini, nampaknya ketamakan manusia akan sekali lagi mengatasi kemapanan masa depan planet kita.

Google ads
Back to top button