
APA ITU SKYACTIV CHASSIS?
Sistem cesi atau kerangka kenderaan merupakan satu platform di mana semua perkakasan dan komponen akan dipasang padanya.
Jadi. cesi yang bagus haruslah berupaya bergerak, mengambil selekoh dengan baik dan berhenti dengan selamat.
Salah satu karekteristik cesi yang bagus ialah kemampuan cesi untuk dibuat dengan ringan dan ia menerima dan bertindakbalas dengan input pemandu dengan pantas.
Cesi atau platform yang bagus mestilah lincah dan bertindak cepat terhadap input pemandu, stabil pada halaju yang tinggi dan juga masih mengekalkan keselesaan penumpang.
Namun bagi mencapai ketiga tiga matlamat yang ditetapkan, cesi yang terlampau berat merupakan masalah utama yang harus dihadapi oleh jurutera.
Berat akan membuatkan prestasi pecutan kenderaan menjadi tumpul, keupayaan membrek terjejas, kereta kurang stabil ketika selekoh dan meningkatkan penggunaan bahan api.
Jadikan cesi SkyActiv lebih ringan, lebih lincah
Namun bagi memastikan cesi adalah ringan dan lincah, jurutera berdepan dengan 2 halangan. Cesi dan struktur cesi mestilah kuat dan tegar.
Cesi yang kuat akan memastikan keselamatan penumpang sekiranya kenderaan terlibat dalam kemalangan dan ketegaran yang tinggi akan membuatkan pengendalian bertambah jitu.
Apabila platform serba baru SkyActiv mula dibangunkan, Mazda menetapkan bahawa cesi ini haruslah berjaya mencapai sekurang kurangnya 30% lebih tegar, 8% lebih ringan dan melepasi mana mana ujian perlanggaran termasuklah New Car Assessment Program (NCAP)
High tensile steel telah dipilih bagi menggantikan besi keluli konvensional biasa yang digunakan kerana ia lebih kuat dan ringan.
Jurutera Mazda juga mengubah geometri cesi agar ia mampu mengalirkan daya hentaman sewaktu pelanggaran jauh dari pemandu dan juga penumpang.
Semasa pembangunan, jurutera mendapati sesetengah struktur cesi terpaksa diperkuatkan dengan beberapa tambahan komponen “high steel tensile” agar ia dapat menahan impak perlanggaran.
Dalam kaedah konvensional, jurutera juga terpaksa menguatkan cesi di mana komponen sistem suspensi diperkuatkan bagi menahan daya yang diterima oleh tayar dan sistem suspensi semasa pemanduan.
Jadi ada dua kawasan yang terpaksa diperkuatkan untuk matlamat yang berbeza seterusnya membuatkan cesi bertambah berat.
Bagi mengelakkan pertambahan berat yang merugikan, jurutera Mazda membuat keputusan untuk menempatkan sistem suspensi di bahagian struktur cesi yang telah diperkuatkan untuk menahan impak pelanggaran agar mereka tidak perlu menguatkan struktur cesi di bahagian lain.
Struktur terbabit berfungsi menahan impak pelanggaran dan juga daya semasa sistem suspensi beroperasi
Jadi, Mazda membuatkan cesi dan kerangka SkyActiv menjadi ringan dengan menggunakan besi high steel, mengubah geometri cesi agar menerima impak kemalangan, dan menggabungkan beberapa fungsi cesi kepada satu komponen sahaja.
Cesi SkyActiv, lebih stabil dan selesa
Dalam kaedah konvensional bagi menghasilkan cesi yang mampu bertindakbalas dengan cepat, biasanya ia terpaksa mengorbankan 2 perkara utama iaitu kestabilan pada pemanduan halaju tinggi dan keselesaan.
Adalah sukar untuk sesuatu cesi memiliki ciri tindakbalas yang cepat, kestabilan pada halaju tinggi dan keselesaan dalam masa yang sama.
Salah satu fokus utama jurutera ialah dengan membaiki cengkaman tayar belakang yang akan mempengaruhi kestabilan dan juga keselesaan penumpang.
Terdapat 2 cara yang berbeza untuk menambah cengkaman tayar belakang kenderaan. Satu cara ialah dengan menambah ketegaran sistem suspensi yang seterusnya akan menambah daya longitudinal pada tayar.
Satu cara lagi ialah dengan mengubah orientasi tayar agar ia dapat menerima daya lateral yang dikenakan semasa beroperasi.
Jurutera Mazda memilih untuk menggunakan kaedah kedua bagi mencapai objektif pembangunan cesi yang baru.
Ia dibuat dengan mengubah sudut operasi roda dan juga titik pivot pada geometri suspensi. Dengan mengubah orientasi tayar, penyerap hentakan yang lembut digunakan agar matlamat keselesaan penumpang dapat dicapai.

Talaan baru sistem suspensi ini mengurangkan hentakan pada cesi semasa melalui jalan tidak rata dan fenomena “Brake dive” semasa membrek.
engan ini, jurutera mencapai 2 objektif awal tadi iaitu kestabilan pada halaju tinggi dan juga keselesaan penumpang belakang.
Namun masalah baru yang timbul apabila cengkaman tayar belakang ditambah, tindakbalas cesi terhadap input pemandu akan berkurang.
Bagi mengatasi masalah ini, jurutera Mazda meningkatkan gear ratio stereng agar input pemandu semasa selekoh dapat diterima dan cesi bertindakbalas dengan pantas.
Objektif Tercapai

Setelah semua talaan dan kaedah dilakukan, ujian yang dilakukan mendapati cesi SkyActiv telah berjaya menurunkan berat keseluruhan kenderaan sehingga 14% lantas memberikan ia tindakbalas pemanduan, ketegaran cesi melebihi 30% dan juga keselesaan untuk penumpang.
Untuk ujian kemalangan, Mazda telah memperolehi skor 5 bintang bagi model Mazda 3 dan juga Mazda 6.
Ujian ini dilakukan oleh National Highway Traffic Safety Administration iaitu badan induk yang mengawal piawaian keselamatan kenderaan di Amerika
Pandu uji oleh pasukan Mekanika dengan menggunakan Mazda CX3 baru baru ini membuktikan manifestasi keupayaan cesi SkyActiv. \
Dalam laluan berselekoh, mendaki dan menuruni bukit Mazda CX3 membuktikan walaupun ia hanya dilengkapi dengan sistem suspensi torsion beam, namun laluan berselekoh gagal menggugat kestabilan cesi walaupun ia dipandu dengan halaju yang tinggi.
Ditambah pula dengan kerangka yang ringan, dinamik pemanduan SUV kompak ini benar benar menyerlah terutama ketika memecut, memotong dan membrek sebelum selekoh. Ia membuatkan pemandu tersenyum lebar seolah olah baru mendapat keizinan isteri untuk berkahwin lagi