Artikel Pilihan

19 FAKTA MENARIK TENTANG LEBUHRAYA TIMUR-BARAT (GRIK-JELI)

Tidak ramai yang tahu tentang lebuhraya bersejarah ini. Ia merupakan laluan penting yang menghubungkan pantai barat dan pantai timur Semenanjung Malaysia.

Kali ini kami bawakan fakta-fakta tentang lebuhraya ini

1. Lebuh Raya Timur Barat fasa satu adalah satu laluan jalan 2 lorong yang dibina pada tahun 1970 dan dibuka secara rasmi pada tahun 1982. 

Kos asal pembinaan adalah sekitar RM85 juta telah meningkat kepada RM205 juta akibat disabotaj oleh pihak komunis sewaktu pembinaan.

Pembinaan lebuhraya ini termaktub dalam Program Keselamatan Pembangunan (KESBAN) iaitu satu usaha khusus kerajaan membangunkan kawasan luar bandar dalam usaha memerangi kegiatan pengganas komunis

2. Pembinaan jalan ini dibuat oleh pihak Jabatan Kerja Raya Malaysia bertujuan memendekkan perjalanan dari Kota Bharu ke Alor Star yang sebelum ini mencecah sejauh 1000 kilometer, membangunkan kawasan terpencil serta memotong laluan perjalanan Komunis ke selatan Thailand. 

Laluan fasa pertama menghubungkan Pekan Grik di Perak dengan Jeli di Kelantan.

3. Spesifikasi laluan ini adalah seperti berikut:

  • Jarak: 123km dari Jeli ke Grik
  • Rekabentuk halaju jalan: 80km/hKadar pendakian: 7-10 °
  • Lebar jalan : 2.3 meter
  • Jambatan: 5 jambatan dan yang paling panjang 880m di tasik banding
  • Terowong: 1 terowong semi, dan beberapa laluan untuk hidupan liar

4. Jalan ini merentasi Banjaran Bintang dan juga Banjaran Titiwangsa dan pendakian ini akan ke sampai ke aras tertinggi iaitu sekitar 1100 meter dari aras laut.

Cuaca pada waktu awal pagi dan malam boleh mencecah sekitar 22 darjah Celsius. Laluan ini juga akan merentasi Tasik Temenggor iaitu tasik buatan bagi tujuan hidroelektrik, sebuah empangan dan juga Pulau Banding yang merupakan pulau buatan yang terhasil apabila empangan dibina


*kredit gambar kepada JKR dan Malaysian Military Power5.

Pembinaan dibuat secara serentak dari kedua dua tempat iaitu dari Jeli dan juga Grik. Kem Utama telah diwujudkan di kedua dua tempat bagi menempatkan pekerja Jabatan Kerja Raya dan juga unit tentera yang akan mengawal jalan ini ketika dibina bagi setiap kilometer.

Terdapat 5 batalion infantri kerahan Askar Wataniah yang diwujudkan bagi mengawal laluan ini ketika dibina iaitu Batalion 301,302, 303, 304 dan 3056.

Pada 21 Mei 1974, satu serangan pengganas komunis telah merosakkan 63 unit jentera berat dan pada 27 Ogos 1974, seramai 3 orang petugas JKR telah terbunuh semasa bekerja. 

Seramai 116 pahlawan dari unit keselamatan telah gugur antara tahun 1968 – 1989 semasa pembinaan jalanraya ini dijalankan. Saya ingin meminta pembaca muslim untuk membaca Alfatihah bagi memperingati pejuang yang telah gugur di sepanjang jalan ini.


*kredit gambar kepada JKR dan Malaysian Military Power

7. Jalan ini dibuka secara rasmi pada 1 Julai 1982 dan hanya boleh dilalui pada waktu siang sahaja dengan iringan anggota tentera dan orang awam dilarang sama sekali menggunakan jalan ini pada waktu malam.

Sekatan ini telah dimansuhkan pada tahun 1989 selepas perjanjian damai ditandatangani di Haatyai.

8. Fasa kedua laluan ini melibatkan sambungan dari pekan Grik, Perak ke pekan Kulim di Kedah dimulakan pada tahun 1993 dan seterusnya menyambungkan laluan ini melalui Butterworth-Kulim Expressway.

Jalan Kulim – Baling telah dimulakan pembinaan terlebih dahulu, diikuti dengan laluan menyambungkan pekan Titi Karangan ke Grik. Secara amnya, jalan ini boleh menyambungkan Kampung Tok Kamis di Pasir Putih Kelantan dengan Seberang Jaya Pulau Pinang.

9. Terdapat 5 jambatan yang dibina dari Grik ke Jeli iaitu Jambatan Sungai Rui (256m), Jambatan Temenggor Barat (880m), Jambatan Temenggor Timur (640m), Jambatan Sungai Pergau Atas (159m) dan Jambatan Pergau Bawah (158m). Kadangkala terdapat polis trafik yang akan memantau kereta yang memotong garisan berkembar di Jambatan Pergau.

10. Ada 9 kawasan rehat yang telah dibina iaitu di Tawar, Sirabayas, Bintang Hijau, Perah, Sungai Lebey, Pulau Banding, Air Bainun dan Damai. Hentian Titiwangsa adalah hentian terbesar dan berada 1050m dari aras laut.

11.  Ciri unik yang hanya terdapat di Jalan Raya Timur Barat:

11.1 Terdapat terowong semi yang berdekatan dengan puncak Titiwangsa dan dibina bagi mengatasi masalah tanah runtuh yang menjadi masalah biasa bila tiba musim tengkujuh.

11.2 Malah pihak berkuasa telah membina laluan lintasan gajah bagi mengelakkan gajah melintas di atas jalan. Jika anda berani, boleh la tunggu gajah liar melintas di sini

11.3 banyak tinggalan kubu atau “pill box” yang pernah digunakan di sekitar Tasik Temenggor, Pulau banding dan beberapa lokasi strategik.


kredit gambar The Patriots

12. Isi petrol atau diesel sebelum memulakan perjalanan. Stesen minyak yang terakhir yang ada sebelum jalan timur barat ialah sebelum hentian rehat sungai lebey iaitu BHP dan Shell  di sebelah Grik.

Manakala di sebelah Jeli terdapat sebuah stesen minyak Petron dan Caltex selepas pekan Batu Belah. Satu ketika dahulu, terdapat satu stesen minyak petronas di kawasan rehat Pulau Banding, tetapi telah ditutup.

Pengalaman saya dulu, saya pernah rancang untuk mengisi petrol di stesen petronas ini, apabila paras petrol berbaki 2 bar. Menyesal juga kerana tidak mengisi petrol di Bandar Grik.

Terpaksa pandu dalam keadaan perlahan bawah 80km/h dan mematikan penyaman udara bagi menjimatkan petrol. Untuk pemandu yang ingin memandu secara santai, boleh gunakan petrol RON 95 untuk laluan ini.

Namun untuk pemandu yang sentiasa memaksa enjin beroperasi pada RPM tinggi, RON 97 adalah lebih baik kerana mampu mengatasi masalah “knocking” yang menyebabkan enjin kehilangan kuasa.


Laluan gajah dan menara pemerhatian gajah

13. Berhati – hati dengan Gajah Liar Bagi yang jarang melalui jalan ini, jalan ini sebenarnya merentasi habitat hidupan liar seperti gajah, dan tidak sama dengan gajah yang berada di zoo yang sudah biasa dengan kehadiran manusa.

Kebarangkalian untuk Gajah muncul adalah tinggi sekiranya anda melalui jalan ini pada waktu malam, cuaca sejuk selepas hujan dan pada waktu bulan penuh.

Tapi yang paling utama gajah ini akan muncul pada waktu malam. Kebiasaannya gajah ini akan berada sebelum dan selepas Pulau Banding.

Sekiranya anda terjumpa gajah di tengah jalan dan menghalang laluan atau menerima high beam dari pemandu yang berdekatan yang memberi amaran, sila ambil langkah berikut:

a. Pandu perlahan dan sedia untuk berhenti sekiranya gajah berada di tengah jalan. Gajah akan duduk di tengah jalan sekiranya anak gajah belum melintas jalan.

b. Berhenti dalam jarak 200 meter dari kedudukan gajah. Bukan apa, sekiranya perlu anda masih boleh berpatah balik

c. Matikan lampu tinggi dan lampu besar. Biarkan lampu kabus sahaja. Lampu hazard juga boleh menyebabkan gajah marah

d. Biarkan gajah melintas sebelum meneruskan perjalanan.

e. Matikan flash camera sekiranya ingin mengambil gambar atau selfie bersama gajah.

14. Berhati-hati ketika hujan.Cuaca hujan dan basah biasa akan berlaku antara bulan Oktober sehingga Februari. Selain menyebabkan masalah aquaplanning, hujan juga boleh menyebabkan kabus berlaku di jalan ini.

Kabus akan menyebabkan jarak penglihatan akan menjadi terhad. Sekiranya berlaku pada waktu malam, keadaan akan menjadi bertambah buruk dan amat gelap.

Pastikan lampu utama dan foglamp berfungsi dengan baik. Anda amat memerlukan semua cahaya yang ada termasuk cahaya keimanan dalam keadaan berkabus.

Keadaan jalan yang basah menyebabkan kereta mudah terbabas pada selekoh dan jarak pemberhentian akan bertambah panjang. Malang tidak berbau sekiranya anda berhadapan dengan tanah runtuh. Kalau bawak laju dan terbabas, jangan salahkan steering lock ye.

15. Elakkan memandu pada waktu malam Sekiranya boleh, elakkan memandu pada waktu malam di jalan ini. Selain dari mitos cerita hantu seram dan laluan binatang liar, anda terpaksa berhadapan dengan kenderaan berat yang dipandu dengan sangat perlahan.

Kalau berlari pun boleh pintas lori tu. Manakala kehadiran bas ekspress yang dipandu laju dan memasuki lorong kita sewaktu selekoh amat berbahaya.

Cuba bergerak dalam konvoi dan kekalkan jarak selamat. Sekiranya Brade Lando lalu jalan ini waktu malam, memang berbakul sumpahan akan didengari oleh cik gajah.

Keadaan jalan yang gelap menyebabkan anda mudah menjadi mangsa lubang lubang jalan yang dalam di laluan ini. Silap hari bulan boleh patah rim.

16. Pastikan kereta dalam keadaan yang sangat baik Pastikan kereta dalam keadaan terbaik sebelum memandu di jalan ini. Sekiranya anda mengalami kerosakan, kereta tunda yang terdekat berada di Bandar Grik atau Jeli.

Kemungkinan akan mengambil masa lebih dari sejam. Pengalaman tersadai di tengah hutan belantara bersama keluarga bukan sesuatu yang menyeronokkan. Tambahan pula talian internet dan telefon lemah, susah nak update FB dan dapat like yang tinggi.

17. Gunakan laluan memotong dengan cekap. Selain kaya dengan flora dan fauna, jalan raya sepanjang 130km dari Grik ke Jeli  ini juga kaya dengan selekoh tajam samaada mendatar, mendaki bukit setinggi 1100 meter dari aras laut  dan menuruni bukit yang sangat menyelerakan.

Keadaan jalan berbukit dan berselekoh tajam memang berbahaya buat pemandu yang tiada pengalaman melalui jalan ini.

Sekiranya perlu memotong kenderaan di hadapan, pemandu boleh memotong di laluan memotong semasa mendaki bukit. Laluan ini khas untuk memotong kenderaan berat dengan selamat.

Laluan memotong ini panjang antara 500 meter hingga 3 kilometer. Sekiranya anda pandu perlahan, sila ikut laluan kiri. Sekiranya anda memandu Saga CVT, pun ikut kiri juga.

Semasa mendaki, bagi kenderaan auto, boleh gunakan gear rendah dengan cara:

a. Matikan butang over drive, dan gear akan berada di kedudukan no 3 bagi memaksa enjin beroperasi pada julat operasi optimum

b. Atau menggunakan pilihan D3 sekiranya ada3. atau menggunakan pilihan gear dengan Sport Mode (S mode)

c. Atau bagi kereta Proton dengan kotak gear CVT, sila masuk ke kiri, tahan nafas, dan berdoa agar enjin bertambah kuasa.

d. Bagi kereta manual, boleh pilih gear 3 atau empat

e. Paling seronok, sekiranya kereta anda dilengkapi dengan fungsi “paddle shift” inilah masa sesuai untuk menggunakan fungsi tersebut. Semasa menuruni bukit, tips di atas boleh digunakan untuk mendapat keberkesanan membrek.

Apabila menuruni bukit dalam keadaan gear rendah, ini akan memaksa kereta melakukan “engine braking”. Ini membantu mengurangkan beban pada sistem brek dan proses brek berlaku dalam keadaan yang lebih cekap dan selamat.

18. Gunakan teknik membrek dengan betul.Bagi memastikan kereta melalui selekoh tajam dengan selamat, terdapat dua teknik membrek yang biasa saya buat bagi laluan ini:

Teknik membrek secara lurus-dalam. teknik ini, saya gunakan tanda amaran selekoh sebagai titik permulaan brek. Setelah membrek, gear ditukar kepada gear rendah atau overdrive off atau kepada sport mode dalam halaju 80-90 km/h.

Selekoh diambil dalam keadaan gear rendah dan pecutan dibuat lepas selekoh habis. Senang cerita slow in, fast out. Teknik membrek dan selekoh serentak – berbeza dengan teknik straight line braking, teknik ini sesuai untuk kereta FF, brek dilakukan sebelum dan semasa selekoh secara serentak.

Semasa selekoh, brek ditekan secara perlahan  bagi mengelakkan kereta mengalami oversteer.

19. Hentian Rehat Titiwangsa. Memandu secara berterusan memang memenatkan bagi laluan ini, pemandu terpaksa fokus sepanjang masa terhadap selekoh, kenderaan dan bersedia untuk membrek. Sekiranya anda hendak berehat, boleh berhenti seketika di Hentian Titiwangsa.

Gambar di atas ketika matahari terbit. Hentian ini lengkap dengan surau, tandas dan tempat minum. Pemandangan dari hentian ini memang sangat menarik.

Pada waktu pagi dan malam, air di sini memang sejuk dan udara sangat nyaman. Lepas ambil air sembahyang untuk solat subuh, rasa sejuk boleh menyebabkan bulu betis tegak. memang kene pakai jaket. Suhu di puncak pernah capai 17 darjah Celcius.

Google ads
Back to top button