Motosikal

TERKINI: KAMAX CUB X 150 MASUK MALAYSIA OGOS INI – BAWAH RM10K

KTNS Malaysia akan terus memperkembangkan tawaran motosikal jenama KAMAX di Malaysia kali ini menerusi model cubcross KAMAX Cub X 150. 

Perkara itu diumumkan sewaktu lawatan media Malaysia ke pusat pameran KAMAX di Chongqing, China pada Jumaat. Maklumat mengenai tawaran motosikal KAMAX di pasaran global boleh diakses menerusi laman www.kamaxgroup.com.

Menurut wakil KTNS, Cub X 150 akan diperkenalkan di Malaysia sekitar bulan Ogos sekaligus menyertai KAMAX Super Pro 125 sedia ada. 

Dari sudut rekaan, Cub X mengguna pakai Super Pro 125 sebagai asas utama namun dengan beberapa naik taraf berbeza bagi membentuk sebuah motosikal cubcross

Penggunaan tayar knobby, rim spoke (lidi) dengan tayar tiub, rak letak barang menggantikan tempat duduk belakang mewujudkan elemen cubcross yang sempurna bagi sebuah motosikal 150cc. 

Menariknya, menurut Pengerusi KAMAX Group, Hu Wenbo, Cub X mengguna pakai komponen suspensi sama yang dibekalkan kepada Honda bagi model Super Cub. 

Meskipun tampak minimalis namun Cub X hadir dengan kelengkapan terkini antaranya brek ABS depan dan belakang, cakera brek depan dan belakang serta panel meter digital LCD yang jelas dan lampu LED penuh yang terang. Selain itu, Cub X juga menawarkan sistem tanpa kunci (keyless).

Berbanding Super Pro 125, Cub X dipacu enjin satu silinder 147.5cc dengan sistem penyejukan udara yang berupaya menjana 9hp pada 7,500rpm dan 10.5Nm pada 5,000rpm. Kuasa pula disalurkan kepada tayar belakang menerusi tranmisi 4-kelajuan. 

Antara perincian lain:

  • tangki 3.8L
  • berat 110kg
  • fork teleskopik 26mm depan
  • ketinggian tempat duduk 790mm
  • jarak kelegaan tanah 125mm

Menurut sumber, KAMAX Cub X 150 ini dijual pada harga bawah RM10k sekaligus bakal memberi saingan pada Aveta Ranger Max 130 dan Yamaha PG-1. 

GALERI: KAMAX CUB X 150

Google ads
Back to top button