" "
Pandu Uji

MERCEDES-AMG GLB 35, IBARAT BR-V DISUMBAT ENJIN TYPE-R

Siapa sangka Mercedes boleh terfikir untuk menghasilkan sebuah SUV kompak yang dihasilkan khusus untuk keluarga dalam varian yang paling berkuasa. Bayangkan SUV kompak yang asalnya digunakan untuk membawa penumpang dihasilkan dalam varian AMG penuh, bukan setakat disumbat dengan aksesori AMG atau AMG Line

Model GLB bermula sebagai varian asas dikenali dengan nama Mercedes-Benz GLB 200 yang dikuasakan dengan enjin 1300cc yang menjana 161 kuasa kuda dan 270Nm tork. Model ini kemudian ditawarkan dalam varian AMG Line iaitu GLB 250 dengan enjin 2000cc menghasilkan 221 kuasa kuda dan 350Nm tork

Perkataan AMG Line pada model GLB250 menunjukkan model ini diberikan kemasan sporti bahagian luar dan dalam yang hampir sama dengan model berkuasa AMG. Namun bagi model Mercedes-AMG GLB35 4 Matic, perkataan AMG berada selepas perkataan Mercedes menunjukkan ia adalah model istimewa

Sangat istimewa sehingga tertera ia hanya menerima diet RON98 sahaja untuk prestasi yang optimum

Ini kerana ia bukan sahaja dipasang dengan semua hiasan dan kemasan luar serta dalam AMG, tapi turut menerima perkakasan AMG yang lain, termasuk naiktaraf dari segi enjin, sistem cesi dan prestasi yang luar biasa bagi sebuah SUV

Dari segi luaran, model GLB35 menerima kemasan jeriji depan khas menegak disemat dengan logo AMG, rim aloi 20 inci rekaan khas AMG, lampu depan LED digital adaptif, bampar belakang rekaan AMG, sepasang tip ekzos sebenar, spoiler AMG, lips aluminium di bawah bampar depan dan juga rel bumbung aluminium

Kalau dilihat pada model asal, GLB sebenarnya agak comel dan feminin telah bertukar menjadi agak garang terutama dengan warna hitam berkilat dan juga angkup brek merah. Bercakap berkenaan dengan brek, cakera brek depan menerima saiz 350mm lengkap dengan ciri lubang yang digerudi untuk tujuan penyejukan beserta 4 piston.

Brek belakang pula menggunakan saiz 330mm dengan 1 piston sudah cukap untuk prestasi brek dan meneutralkan kuasa enjin yang brutal. Sebanya 306 kuasa kuda dan 400Nm tork berjaya diperah dari enjin 4 silinder petrol turbo skrol berkembar M260

Kuasa ini juga turut disumbangkan dari sistem hibrid Belt Stator Alternator yang menghasilkan 13 kuasa kuda tambahan. Bagi membezakan antara model AMG35 ini dengan model lain, perkataan AMG turut tertera pada penutup enjin dan sebatang bar penstabil AMG yang mendakap suspension tower depan

Bahagian bawah cesi di bawah enjin turut diperkukuhkan bagi menjadikan GLB ini lebih tegar. Semua kuasa dihantar ke transmisi DSG 8 kelajuan sebelum diagihkan kepada 4 roda menerusi sistem AMG performance 4Matic AWD.

Terlalu banyak kuasa pada roda belakang sahaja atau depan sahaja menjadikan ia lebih sukar untuk dikawal bagi pemandu amatur. Akhir sekali, GLB35 turut menerima sistem suspensi AMG Ride Control Sport Suspension yang menawarkan 3 tetapan suspensi samaada Comfort, Sport atau SPORT+

Menjengah di ruang simpanan bagasi, Mercedes-AMG GLB35 sangat praktikal dengan penawaran ruang kargo mencapai 570 liter. Ruang ini boleh dibesarkan menjadi 1805 liter sekiranya perlu dengan melipat kusyen barisan kedua

Bateri 40 volt bagi sistem mild hibrid dipasang di ruang bawah lantai kargo bersama-sama dengan subwoofer Burmeister. Turut disediakan di ruang kargo ialah kit pembaikan tayar kecemasan.

Ruang kabin pula diserikan dengan tema sport AMG seperti kusyen balutan kulit artico dan microcut fibre, stering AMG yang rata dibahagian bawah, pedal anjakan gear AMG, serta paparan khas AMG yang menunjukkan kuasa enjin serta operasi offroad, jika anda bercadang untuk membawa SUV berharga RM 418,888 ini meredah selut

99% pemilik tidak akan menjejakkan tayar Continental Sport Contact 6 ini atas lumpur, batu waima tanah liat sekalipun. Apa yang penulis suka ialah butang-butang kawalan penting seperti unit kawalan penyaman udara, butang mod pemanduan, butang kamera 360 darjah semua disusun rapi di papan pemuka, roda stering dan konsol tengah

Nampak kemas dan teratur sahaja, namun pada masa sama mengekalkan nilai sporti apabila balutan kusyen dibuat dengan menggunakan benang berwarna merah serta tali pinggang keledar berwarna merah

Skrin multimedia 10.25 inci yang beroperasi dengan sistem MBUX turut menawarkan sambungan Apple Car Play dan Android Auto tanpa wayar. Namun yang paling syahdu ialah sistem bunyi Burmeister 12 speaker yang menjana 590 watt. Memandu seorang diri ditemani dengan alunan muzik memang mengasyikkan

Sayangnya kusyen masih mengekalkan rekaan lama dengan sokongan bahagian peha masih tidak mencukupi untuk penumpang dewasa, tapi masih boleh dilipat dalam ratio 40:20:40. Ruang kaki adalah besar selain ciri moden lain seperti corong penyaman udara, perehat tangan dan tempat meletak minuman turut disediakan

Berikut ialah pemerhatian penulis untuk pengalaman pemanduan Mercedes-AMG GLB35

1. Pecutan 0-100km/h boleh dibuat dalam masa 5.5 saat dan berdasarkan cara lonjakan cesi, penulis rasakan angka tersebut boleh dipercayai dan halaju tertinggi dihadkan pada 250km/jam.

Dengan hamburan kuasa yang tinggi, penggunaan petrol adalah tinggi sedikit sekitar 10.3km/liter (setara dengan Honda Civic Type-R) namun bagi penulis angka ini adalah munasabah bagi SUV seberat 1754kg lengkap dengan sistem AWD

Sepanjang pemanduan, penulis kekal menggunakan mode Comfort dan hanya menukar mode ketika mahu mengekalkan halaju yang tinggi ketika melalui selekoh panjang

2. Operasi sistem AMG Speedshift DCT 8G terasa sedikit melompat sewaktu di dalam kesesakan jalan raya, sewaktu memandu perlahan di taman perumahan (creep) atau ketika memulakan pecutan. Namun ketika dipandu laju, operasi gear adalah sangat lancar

3. Sistem suspensi AMG Ride Control Sport Suspension memang terasa sangat keras biarpun ketika memandu dalam mode Comfort. Jika ditetapkan pada mode Sport, GLB35 seakan berdiri tegak ketika melalui selekoh membolehkan anda meratah selekoh dengan berselera

Namun ketika melalui jalan kampung dan jalanraya persekutuan yang kaya dengan lopak dan jalan beralun, maka kekerasan sistem suspensi akan terasa dan mengganggu penumpang di bahagian belakang

4. Sistem stering pada GLB merupakan antara stering yang paling sporti dengan respon paling pantas pada model SUV yang pernah dipandu oleh penulis. Ia hanya memerlukan 1.3 pusingan stering untuk “lock” ke kiri atau kanan. Operasi ketika selekoh amat mudah namun anda perlu memberi perhatian serius ketika memandu laju di jalan lurus

5. Dalam aspek ergonomik, rekaan kontur kusyen depan boleh dikatakan agak bagus dan membenarkan penulis memandu selama 2 jam secara berterusan walaupun kusyen terasa sedikit keras. Kebanyakan bunyi yang didengari oleh penulis adalah bunyi tayar yang menerobos masuk ke ruang kabin

6. Kualiti bunyi pembesar suara sudah cukup bagus bagi harga yang dibayar, mungkin akan kalah pada model Mercedes EQS dengan sistem pembesar suara dipasang dalam kusyen depan

Dalam aspek keselamatan ada beberapa perkara yang perlu ditambah baik oleh Mercedes. Pertama penulis kurang geram dengan sistem peringatan keselamatan aktif GLB yang sentiasa mengingatkan penulis setiap kali melalui selekoh. Amaran ini akan mengganggu bunyi muzik yang sedang dimainkan

Ciri Adaptive Cruise Control juga meyakinkan untuk digunakan bagi mengurangkan beban pemanduan ketika pemanduan jarak jauh. Cuma penulis rasakan sistem brek masih lagi baru dengan odometer tidak mencecah 1000km, jadi brek terasa kurang menggigit

Namun ada beberapa perkara yang perlu diperbaiki bagi menjadikan Mercedes-AMG GLB35. Pertama penyandar tempat duduk belakang ditetapkan pada sudut yang terlalu menegak selain kusyen di bahagian bawah dirasakan terlalu pendek dan direka untun SUV tempat duduk

Tetapan spring dan penyerap hentak juga dibuat terlalu keras sehingga agak sukar untuk memandu dengan selesa di jalanraya dengan permukaan jalan yang tidak rata. Manakala harga RM 418,888 bagi satu unit Mercedes-AMG GLB35 ini bukanlah harga yang mampu dicapai oleh kebanyakan pemandu

Namun dari segi rekaan dan ruang dalaman, Mercedes-AMG GLB35 jauh lebih luas daripada model GLA manakala kemasan luarnya pula nampak lebih tegap. Tapi sekiranya anda perlukan sebuah SUV praktikal yang disemat dengan logo AMG, model GLB35 ini amatlah sesuai.

Google ads
Back to top button