Artikel Pilihan

SEGALANYA TENTANG MERCEDES AMG ONE

Beberapa minggu lepas penulis telah mengemukakan idea untuk menggunakan enjin dari jentera perlumbaan F1 seperti agak mustahil untuk direalisasikan. Anda boleh baca berkenaan artikel asal mengapa agak mustahil untuk menggunakan enjin F1 pada kereta biasa di SINI.

Namun sejarah membuktikan bahawa kemahuan dan impian manusia sentiasa berupaya mengatasi semua halangan dan cabaran dalam kejuruteraan dan ia dibuktikan dengan Mercedes AMG Project One. Sebuah kereta yang dipasang dengan enjin perlumbaan F1 untuk kegunaan harian.

1. Rekabentuk Keseluruhan

Ia merupakan sebuah kereta kereta sport hiper 2 tempat duduk dengan menggunakan keseluruhan kejuruteraan enjin, transmisi, sistem hibrid dan penyejukan dari teknologi perlumbaan 1. Gabungan enjin dan sistem hibrid menjana tenaga keseluruhan menjadi 1090 kuasa kuda dengan halaju maksima 350km/j. Jika mode overboost digunakan ia akan menjana 48 kuasa kuda tambahan pada 1090 kuasa kuda tadi.

2. Sistem Enjin dan Hibrid

Jika anda rasakan ia tidak cukup canggih maka anda silap. Kereta sport ini direka agar ia beroperasi sebagai sebuah kereta hibrid plug-in dan boleh bergerak sejauh 24km dalam mode elektrik. Sistem enjin merangkumi sebuah enjin 1600cc turbo (ya betul anda tidak salah baca), sistem hibrid dan juga 4 elektrik motor. Satu motor elektrik telah diintegrasikan dengan sistem turbo untuk berfungsi sebagai turbo, satu motor dipasang pada crankcase dan dua lagi motor dipasang pada roda depan yang akan bertindak sebagai unit torque vectoring

Unit motor elektrik pada roda depan juga bertindak sebagai unit pengecas untuk mengecas semula tenaga elektrik melalui brek regeneratif yang akan menyimpan semula 80% tenaga kinetik semasa proses membrek. Kecekapan termodinamik bagi enjin dan sistem hibrid ini mencecah 40% iaitu sebagus sebuah Toyota Prius.

Limit enjin 11,000 RPM

Unit enjin dikuasakan dengan enjin susunan V6 1600cc, teknologi pancitan bahan api terus dan juga sistem turbo. Enjin ini mampu mencapai 11,000RPM berbanding dengan versi perlumbaan yang mampu mencapai 14,000 RPM. Bagi membolehkan ia mencapai RPM yang tinggi, spring mekanikal untuk injap telah digantikan dengan spring teknologi pneumatic dan enjin ini sendiri menghasilkan 603 kuasa kuda. Bagi kegunaan jalanan, jurutera berjaya mengurangkan idle speed dari 4000 RPM kepada 1200RPM

Enjin dan sistem hibrid ini membolehkan AMG Project-One memecut dari 0-100km/j dalam masa 2.5 saat, 0-200km/j dalam masa 6 saat dan 0-300km/j dalam masa 11 saat. Namun jangan anda teruja sangat kerana enjin ini perlu dibaik pulih secara sepenuhnya bagi setiap 50,000km.

4. Sistem Antilag Turbo

MGU-H ataupun Motor Generator – Heat adalah satu sistem elektrik yang dipasang pada sistem turbo yang digunakan untuk mengawal tekanan boost dan juga sebagai generator elektrik. Tenaga elektrik yang dijana akan digunakan kemudian sewaktu tekanan ekzos di dalam sistem turbo menjadi rendah contohnya ketika pemandu menekan brek untuk memasuki selekoh.

Bagi menghapuskan masalah turbo-lag, sistem MGU-H akan bertindak sebagai pam elektrik memutarkan sistem turbo dan memusingkan turbin  sebelum gas ekzos menghasilkan tekanan yang cukup. Sistem motor elektrik di dalam turbo ini akan meningkatkan dinamik pemanduan kereta kerana tekanan turbo sentiasa mencukupi untuk enjin menjana tenaga yang cukup untuk semua situasi pemanduan. Motor elektrik mampu berputar pada 100,000 RPM tanpa sebarang masalah.

Tenaga elektrik tambahan yang dijana oleh unit MGU-H ini boleh juga disimpan dalam unit bateri hibrid ataupun dihantar pada motor di crankase atau di roda hadapan untuk membantu proses pecutan

5. Sistem Transmisi

AMG Project-one akan menggunakan sistem transmisi AMG SPEEDSHIFT 8-kelajuan yang diaktifkan dengan sistem hidraulik dengan klac tunggal. Jurutera memilih untuk menggunakan sistem klac tunggal berbanding dengan sistem dwi-klac disebabkan isu berat sistem dwi klac dan juga ketahanan sistem yang perlu menerima RPM enjin yang berputar sehingga 11,000 RPM. Sistem transmisi ini boleh beroperasi dalam mode automatik sepenuhnya atau mode manual yang dikawal dengan menggunakan penukar gear di stering

6. Unit Trenkuasa AWD

Adalah tidak bijak jika hanya 2 roda belakang yang digunakan untuk menerima semua kuasa yang dijana oleh sistem. Oleh itu kereta ini menerima unit trenkuasa Variable AMG Performance 4MATIC menjadikan ia sebuah kereta sport All Wheel Drive. Unit ini akan digabung dengan transmisi AMG SPEEDSHIFT 8 kelajuan

7. Sistem Cesi

Seperti yang dijangka, sistem cesi AMG Project-One menggunakan gentian karbon berbanding dengan aluminium utuk mengurangkan lagi berat keseluruhan kereta. Proses pembuatan gentian karbon untuk menghasilkan cesi amatlah mahal dan juga rumit. Ia dimulakan dengan proses anyaman gentian fiber, proses pembakaran dan disudahi dengan kemasan resin bagi menguatkan lagi struktur gentian karbon. Komponen cesi ini akan dicantumkan dengan menggunakan epoksi resin, rivet dan juga dibakar sekali lagi bagi memastikan cantuman komponen melekat dengan kuat antara satu sama lain.

8. Brek yang melekat

Oleh kerana pecutan kereta ini agak menakutkan maka sistem brek yang berkuasa diperlukan. Maka AMG Project-One dipasang dengan brek seramik yang ringan bagi membantu mengurangkan “unsprung weight” dan memberikan kelebihan pengendalian ketika selekoh dan juga jalan yang tidak rata. Rim tayar yang digunakan dihasilkan dari magnesium dan kemasan 3 bintang yang digunakan dibuat daripada karbon untuk mengurangkan lagi berat. Malah logo 3 bintang di bahagian depan hanya dihasilkan daripada teknik airbrush

9. Sistem Suspensi

AMG One menggunakan aplikasi sistem Multi-link pada roda depan dan belakang namun dengan beberapa keistimewaan. Unit suspensi dipasang secara horizontal dengan tujuan menggantikan komponen tubular cross member memberikan kelebihan dari segi pengurangan berat. Susunan sebegini juga membantu kestabilan AMG One jika ia dipandu laju melalui selekoh dan pengurangan olengan cesi.

10. Aerodinamik

Unit kemasukan udara dibuat dengan ciri kepak yang boleh dibuka dan ditutup bergantung pada pemanduan samaada kereta perlukan penyejukan maksima ataupun aerodinamik yang bagus. Terdapat juga kepak yang boleh dibuka atau ditutup pada fender tayar depan bagi memberikan downforce ketika mengambil selekoh. Air-Intake untuk sistem enjin dipasang pada atas bumbung bagi menyuapkan udara terus pada enjin yang dipasang di belakang pemandu.

Di belakang Air Intake, terdapat 2 lubang udara untuk menyejukkan minyak enjin dan juga sistem radioator. Terdapat satu Central Fin yang dipasang di antara 2 lubang kemasukan udara untuk membantu kestabilan kereta pada halaju tinggi yang juga bertindak mengarahkan udara supaya melalui GT-Wing yang akan diaktifkan pada halaju yang ditetapkan oleh jurutera bagi cengkaman maksimum. Ia diakhiri dengan diffuser yang direka khas untuk AMG One bagi kestabilan pada halaju tinggi.

11. Kokpit pemanduan

Rekaan stering diambil daripada jentera F1 dengan semua butang-butang untuk mengaktifkan sistem pemanduan. Satu skrin dipasang di belakang roda stering untuk memaparkan segala maklumat sistem pada pemandu, satu skrin dipasang pada papan pemuka untuk maklumat tambahan dan satu lagi skrin dipasang pada bahagian atas menggantikan cermin pandang belakang.

Pemandu boleh memilih untuk menggunakan mode EV, atau mode hybrid range extender, sudah tentu Race Mode dan juga Race Plus Mode. Sistem kawalan ESC boleh ditetapkan samaada pada 100%, dimatikan sepenuhnya atau dipasang pada kadar yang disukai oleh pemandu. Sama seperti Ford GT40, tempat duduk pemandu telah dipasang pada kedudukan yang tetap, tapi unit steering column dan juga pedal box (pedal minyak dan brek) boleh diubah mengikut postur badan pemandu.

Hanya 275 unit sahaja kereta ini akan dibina oleh Mercedes dan dijual pada harga 2.275 pound di Eropah. Untuk pasaran Malaysia mungkin harga akan menjadi lebih tinggi dan banyak angka kosong-kosong dibelakang. AMG One akan mula dihantar pada pelanggan yang telah menempah kereta ini bermula tahun 2020 selepas jurutera selesai menjinakkan dan memberi talaan akhir pada enjin ini.

Google ads
Back to top button