Buletin

MERCEDES-BENZ 770K,PERNAH DIMILIKI RAJA FAISAL I. DILELONG PADA HARGA RM10.7 JUTA

Kereta vintaj model Mercedes-Benz 770K 1930 yang pernah dimiliki Raja Faisal I, dijual secara lelongan dalam talian pada Isnin, pada harga AS$2,555,555 (kira-kira RM10.7 juta).

Faisal I adalah pengasas Iraq moden yang memerintah negara itu, dari tahun 1921 hingga 1933.

The National News melaporkan, kereta hitam itu menjadi kenderaan rasmi pemerintah Iraq selama beberapa dekad ketika pemerintahan anak Faisal I, Raja Ghazi (1933 hingga 1939) dan cucunya, Raja Faisal (1939 hingga 1958).

Bantuan Mercedes-Benz membolehkan satu muzium di Amerika Syarikat (AS) iaitu Indianapolis Motor Speedway Foundation membeli kereta itu pada tahun 1967 dan kerja pengubahsuaian disiapkan pada tahun 1970-an.

Ia dipamerkan dalam perarakan kereta vintaj di AS dan pada bulan lalu, muzium itu menjualnya di platform lelongan automotif Bring a Trailer.

Kereta diraja itu adalah salah satu daripada 117 contoh W07 yang dihasilkan antara 1930 dan 1938 dengan casisnya mempunyai plat Baghdad – 83807.

Ia dilengkapi dengan empat pintu, rangka badan kabriolet oleh Voll dan Ruhrbeck dari Berlin, dan tiga bumbung yang boleh diangkat. –HM/thenationalnews

Google ads
Back to top button