
APAKAH FAKTOR YANG MEMPENGARUHI JARAK PERJALANAN KERETA ELEKTRIK?
Setakat hari ini dan ketika artikel ini ditulis, kereta elektrik yang dibawa masuk dan dijual secara rasmi dengan jarak perjalanan yang paling jauh ialah Mercedes Benz EQS 450+ sedan. Untuk satu pengecasan penuh ia boleh dipandu sejauh 782km, cukup untuk meyakinkan anda memandu dari Johor Bharu ke Bukit Kayu Hitam dengan satu pengecasan penuh
Bagi kebanyakan kereta elektrik lain yang dijual di Malaysia, secara purata jarak perjalanan ialah antara 350-450km untuk satu pengecasan penuh. Hanya dengan membawa lebih banyak beban, membawa roof box atau menunda kenderaan lain, jarak perjalanan akan mulai berkurang. Ia adalah sifir yang sama dengan kenderaan berkuasa petrol atau diesel
Malah jika anda memandu terlalu agresif akibat dahagakan deruan adrenalin yang menerpa masuk dalam urat saraf anda sebaik sahaja menekan pedal kereta elektrik, jarak perjalanan juga akan terjejas. Suhu persekitaran yang terlalu sejuk dan terlalu panas juga akan menyebabkan bateri terpaksa beroperasi diluar suhu yang optimum dan menjejaskan prestasi bateri.
Malah penggunaan penyaman udara juga akan menyebabkan jarak perjalanan kereta elektrik menjadi semakin singkat. Sebagai contoh sesetengah kereta elektrik datang dengan ciri penyaman udara boleh dihidupkan secara automatik sebelum anda memulakan perjalanan. Ini pun akan menggunakan kuasa bateri

Jika enjin pembakaran dalam akan berfungsi dengan lebih efisyen jika dipandu di lebuh raya, kereta elektrik sebenarnya beroperasi dengan lebih baik di dalam bandar. Pergerakan trafik yang sentiasa bergerak dan berhenti akan membantu proses pengecasan melalui proses brek regeneratif
Salah satu faktor yang mempengaruhi jarak perjalanan ialah saiz bateri itu sendiri, dimana sama seperti saiz tangki petrol semaki besar saiz bateri semakin jauh jarak perjalanan yang boleh dilakukan. Sebagai contoh Mercedes Benz EQS Sedan menggunakan bateri sebesar 107.8kWh dengan berat mencecah 700kg
Bateri sebesar ini memboleh EQS Sedan dipandu sejauh 782km berbanding dengan BMW i7 Limousine dengan jarak 625km. Malah Mercedes Benz giat membangunkan bateri yang lebih baik dengan jarak perjalanan 1000km menggunakan bateri 100kWh
Kajian yang dilakukan oleh penyelidik Yale Climate Connection, Yale University mendapati 65%-69% kuasa yang disimpan oleh bateri dalam kereta elektrik digunakan untuk menggerakkan kereta dengan baki 31-35% lagi hilang disebabkan pelbagai fungsi kereta yang lain

10% kehilangan tenaga ini sudah termasuk dengan proses pengecasan bateri itu sendiri, 18% hilang dalam trenkuasa, dan proses penggunaan penyaman udara menyebabkan kehilangan kuasa sebanyak 4%. Tapi kereta elektrik boleh menjana semula tenaga elektrik yang hilang melalui brek regeneratif sebanyak 22%.
Ini bermakna kecekapan kereta elektrik mencecah sehingga 87-91%, bermakna hampir sebahagian besar kuasa elektrik yang ada pada kereta digunakan untuk bergerak. Sebagai perbandingan, enjin yang paling cekap yang dihasilkan ialah enjin jentera F1 dengan kecekapan mencapai 45%


