Buletin

MERCEDES-BENZ EQE 500 4MATIC DILANCARKAN – 408HP, JARAK GERAK 552KM, HARGA BERMULA RM485K

Mercedes-Benz Malaysia hari ini secara rasmi mendedahkan SUV Mercedes-Benz EQE untuk pasaran tempatan selepas pengenalan global pada Oktober 2022.

Ditawarkan dalam hanya satu varian – EQE SUV 500 4MATIC, SUV elektrik sepenuhnya mewah baharu itu berharga RM485,888.

Dari segi dimensi, EQE SUV berukuran 4,946mm (panjang), 1,961mm (lebar), 1,512mm (tinggi) dan jarak roda 3,120mm.

Di luar, EQE SUV didatangkan dengan ciri standard seperti gril hadapan hitam berkilat dengan corak Mercedes-Benz, lampu depan LED digital, pemegang pintu flush-fitting, dan rim bersaiz 21-inci multi-spoke AMG.

Di dalam, SUV Mercedes-Benz EQE di Malaysia dilengkapi stereng pelbagai fungsi AMG Line, paparan kluster instrumen digital 12.3-inci, paparan tengah OLED 12.8-inci dengan ketersambungan Apple CarPlay/Android Auto dan sistem audio Dolby Atmos & Burmester 3D.

Perincian lain termasuklah upholsteri kulit, pengecas wayarles telefon mudah alih, sistem pencahayaan ambien aktif, sokongan pengimbas cap jari, pakej ENERGIZING dan AIR BALANCE serta dilengkapi bumbung matahari panoramik.

Ciri lain untuk SUV ini adalah mempunyai ruang kaki belakang 1,030mm, ruang bagasi berkapasiti 520 liter atau sehingga 1,675 liter apabila tempat duduk belakang dilipat.

Beralih kepada kuasa, EQE SUV 500 4MATIC dijana oleh dwi-motor elektrik, berupaya menghasilkan 408hp dan 858Nm.

Melalui pek bateri 10 modul 90.6 kWj, Mercedes-Benz EQE SUV 500 4MATIC boleh bergerak sejauh 552 km dengan setiap pengecasan penuh.

Dari segi pengecasan, SUV elektrik boleh dicas pada kadar AC 22kW dan mengambil masa 4 jam 45 minit bagi pengecasan 0-100 peratus.

Untuk kit keselamatan, ia dilengkapi ciri standard seperti berikut:

  • Attention Assist
  • Active Brake Assist
  • Active Lane Keeping Assist
  • Parking Package
  • Speed Limit Assist

Sementara, didatangkan sebagai pilihan adalah Assistance Package dan Driving Assistance Plus Package.

Untuk harga, EQE SUV 500 4MATIC boleh dimiliki pada harga bermula RM485,888 atau ansuran bulanan serendah RM3,988 melalui pembiayaan Step Up Agility+ Plan.

GALERI:

Google ads
Back to top button