Buletin

ORA LIGHTNING CAT BAKAL DILANCARKAN DI MALAYSIA TAHUN DEPAN, HARGA BERMULA SEKITAR RM200K

Ora 07 atau Ora Lightning Cat dikhabarkan bakal dilancarkan untuk pasaran tempatan pada tahun hadapan dengan anggaran harga bermula sekitar RM200,000.

Dari segi penampilan, kereta ini menggunakan gaya rekaan yang lebih retro, termasuk dipadankan dengan lampu hadapan bujur, reka bentuk bampar dan sedikit kemasan krom untuk menyerlahkan lagi bahagian hadapan.

Ia juga dilengkapi dengan rim krom bionik bersaiz 19-inci sementara bahagian belakang pula mendapat lampu berbentuk bujur.

Di Thailand, ia menerima tiga pilihan warna iaitu tourmaline gray, smoky amethyst serta white jade. Bagi pasaran China, ia ditambah dengan pilihan warna pink diamond.

Di dalam kabin, ia tampil gaya retro moden dengan stereng bulat bersaiz besar, panel instrumen digital 10.25-inci ‘triple gauge’ dan skrin sentuh terapung untuk infotainmen yang disokong oleh cip Qualcomm Snapdragon 8155.

Perincian lain termasuklah 3 kamera dipasang pada tiang A yang ditujukan kepada pemandu, manakala dua lagi kamera di siling.

Untuk sistem bunyi pula, ia disokong oleh 11 pembesar suara daripada Harman Infinity.

Beralih kepada ciri keselamatan, model itu dilengkapi sistem bantuan pemanduan ORA-PILOT 3.0 yang disokong oleh 28 sensor termasuk 10 kamera, radar gelombang 5 milimeter, 12 radar ultrasonik dan peta definisi tinggi 5G.

Dari segi kuasa, ORA Lightning Cat hadir dengan pilihan pacuan roda hadapan (FWD) motor tunggal dan pacuan semua roda (AWD) dwi motor.

Versi FWD motor tunggal menghasilkan 204hp dan tork 340Nm, manakala versi AWD dwi-motor menghamburkan kuasa 408hp dan 680Nm.

ORA Lightning Cat dibekalkan dengan bateri berkapasiti 83.499 kWh yang menawarkan jarak gerak sehingga 640km untuk Long-Range sementara, Performance mampu menempuh sejauh 550km.

Bagi pengecasan, ia mampu mencapai 80 peratus daripada 30 peratus dalam masa 30 minit sahaja.

Dengan anggaran harga bermula RM200,000, ia dijangka memberi persaingan kepada model EV sedia ada di pasaran tempatan, sekaligus menawarkan lebih banyak pilihan kepada pengguna di Malaysia. – Automachi

Google ads
Back to top button