Pandu Uji

BMW iX XDRIVE 50, 737KM SEKALI CAJ

Kereta elektrik yang pertama yang dipandu uji oleh penulis ialah BMW iX40 pada tahun 2022. Ketika itu, memandu pulang dengan jarak perjalanan hampir 240km sebenarnya menimbulkan rasa bimbang kepada penulis. Mungkin bateri 76.6kWh ini tidak cukup dan perlu dicaj di pengecas sebelum sampai di rumah.

Namun pada tahun lepas, liputan pusat mengecaj tidak lagi banyak seperti yang ada pada tahun 2023. Jika anda mahukan ketenangan dengan jarak pemanduan yang lebih jauh, maka BMW iX50 adalah jawapannya dengan jarak 660km untuk satu pengecasan penuh

BMW iX xDrive50 dengan rekaan 2 motor elektrik, satu bagi setiap gandar dengan kuasa sehingga 523 kuasa kuda dan 765Nm tork. Jika anda melihat di belakang BMW iX50, anda boleh meneka dengan kasar spesifikasi EV ini. X adalah untuk SUV, xDrive adalah pacuan 2 roda dan 50 bagi menggambarkan kuasa sehingga 523 kuasa kuda

Dengan tork sehingga 765Nm, BMW iX50 tiada masalah untuk memecut 0-100km/jam dalam masa 4.1 saat sahaja, biarpun beratnya mencecah 2585kg dengan halaju maksima dihadkan kepada 200km/jam. Saiz bateri pula menjadi semakin besar iaitu 111.5kWh berbanding 76.6kWh bagi varian i40 tetapi ia masih mengekalkan rekaan sistem 400 volt.

Walaupun di atas kertas jarak pemanduan ialah sekitar 660km, tapi penulis berjaya menambah jarak pemanduan sebenar menjadi 737km dengan pemanduan yang berhemah ketika melalui jalan Gerik ke Jeli. Mudah sahaja, tetapkan mode pemanduan dalam Efficient dan pandu dengan menggunakan teknik single pedal driving serta gunakan brek regenratif secara adaptif

Rekaan On Board Charger bagi model iX50 juga telah bertambah baik. Pilihan pertama ialah pengecasan AC 11kW yang memerlukan masa sehingga 11 jam untuk dicaj dari 0-100%. Bagi pengecasan pantas, Combine Charging System telah dinaikkan menjadi 200kW berbanding 150kW yang lama

Ini bermakna jika anda mengecaj di DCFC 200kW, anda boleh tambah bateri dari 10% ke 80% dalam masa 31 minit sahaja. Tapi jika menggunakan DCFC 150kW, masanya akan bertambah menjadi 35 minit dan untuk kebanyakan DCFC 50kW masanya menjadi 95 minit

Poin di sini ialah kewujudan sistem DCFC yang pantas, makin besar DCFC makin laju anda mengecaj. Tambahan pula saiz bateri menjadi semakin besar. Dari segi saiz, BMW iX dikategorikan dalam saiz Eksekutif yang besar berbanding dengan segmen D dengan panjang mencecah 4953mm dan lebar 1967mm

Jarak antara roda pula ialah 3000mm sama dengan BMW 530i dan membolehkan iX50 menawarkan ruang kargo sehingga 500 liter. Dari segi falsafah rekaan, BMW mengatakan iX50 direka dengan konsep Shy Technology walaupun rekaan kidney grille di depan adalah sebesar alam semesta.

Antara idea konsep Shy Technology ialah tombol pintu luar yang tersembunyi, rekaan pintu tanpa bingkai, semua alat pengesan disembunyikan di belakang Kidney Grille serta lampu depan Laser Light yang sedikit berbeza berbanding dengan BMW yang menggunakan enjin pembakaran dalam.

Namun hanya satu perkara yang terasa sedikit kontra pada pandangan penulis iaitu penggunaan rim 22 inci yang semestinya merompak penggunaan tenaga bateri. Mungkin kalau BMW memilih saiz rim yang lebih kecil, maka jarak perjalanan akan menjadi semakin jauh untuk satu pengecasan penuh

Rekaan dalaman adalah nampak sedikit luar biasa untuk sebuah BMW dimana idea yang dibawa ialah minimalism tapi sangat luas. Tapi BMW memilih bahan yang berkualiti tinggi seperti Veneer Wood untuk konsol tengah, tombol gear kristal, suis rotari untuk sistem Multimedia kristal, seat dengan balutan kulit Nappa serta cermin suria Sky Lounge Panaromic dengan ciri monokromatic.

Semua maklumat dipaparkan di sistem Live Cockpit Professional dengan skrin melengkung bersaiz 12.3 inci untuk pemandu manakala sistem multimedia pula menggunakan skrin 14.9 inci yang dikawal dengan sistem BMW OS8. Sistem ini lengkap dengan Android Auto dan Apple Car Play tanpa wayar dengan perisian terbina dalam.

Melengkapi ciri mewah BMW ialah sistem paparan Head Up Display untuk pemandu memberi fokus atas jalan serta 18 pembesar suara daripada jenama Harman Kardon. BMW mengatakan platform iX50 dihasilkan daripada gabungan keluli ketegaran tinggi, aluminium, thermoplastic dan CFRP untuk menjadikan platform ini ringan biarpun berat keseluruhan iX50 mencecah 2585kg

Jika dibandingkan dengan model iX40, ia hanyalah seberat 2440kg sahaja. Namun berat yang bertambah serta keputusan BMW untuk terus menggunakan sistem suspensi pasif menjadikan pengendalian iX50 kurang menyegat jika dibandingkan dengan BMW iX3 yang menggunakan suspensi adaptif

Semakin berat kenderaan, semakin tinggi nilai momentum yang dihasilkan menjadikan anda perlu bersilat di selekoh. Bukanlah dinamik pengendalian iX50 tidak bagus, cuma kurang sikit berbanding dengan iX3. Anda juga perlu membiasakan diri dengan efek ayunan pendulum ketika melalui jalan tidak rata.

Namun selepas 1000km memandu, badan anda akan mulai serasi dengan pergerakan cesi BMW iX50. Ajaibnya walaupun berat, BMW tetap stabil dan tiada olengan cesi ketika melalui selekoh tajam dengan laju. Kalau anda sudah biasa, gunakan saja B Mode yang mengaktifkan Single Driving Pedal.

B Mode juga akan menjadikan iX50 semakin cekap tenaga dan merendahkan purata penggunaan tenaga. Cuma ia akan menjadikan perjalanan kurang lancar sedikit melainkan anda pandai mengawal pedal minyak untuk memecut dan membrek. Ya pedal brek hanya akan digunakan ketika brek kecemasan sahaja.

Penggunaan tayar khas seperti Pirelli PZero Elect juga adalah tindakan tepat kerana tayar ini sangat senyap, menyediakan geseran statik dan geseran dinamik yang bagus kerana hantaran 765Nm tork gagal membuatkan tayar ini tergelincir.

Pada masa yang sama binaan tayar adalah lembut dan menyerap kecacatan permukaan jalan dengan baik. Semasa di selekoh, tayar ini juga memberikan respon serta komunikasi yang baik dengan stering. Memandu pada waktu malam juga adalah menyeronokkan dimana lampu LED Laser Light menyuluh jalan berselekoh dengan baik sekali

Dari segi kecekapan tenaga, BMW menyatakan iX50 memberikan bacaan purata sekitar 19.5kWh / 100km. Tetapi penulis berjaya mendapatkan bacaan purata 17.5kWh/100km dengan halaju purata 80-110km/jam walaupun melalui jalan berbukit.

Ada beberapa perkara yang perlu diperbaiki oleh BMW untuk model iX50 ini pada pandangan penulis. Pertama, ia patut diberikan suspensi adaptif sama seperti model yang dijual di luar negara. Kedua pembesar suara Bowers & Wilkins adalah jenama yang lebih sesuai berbanding dengan Harman Kardon.

Secara matematik, anda perlu menambah sebanyak RM 143,000 untuk bateri yang lebih besar berbanding dengan BMW iX40. Jika dimasukkan sekali jaminan 5 tahun harga iX50 mencecah RM 546,000 manakala bateri dan motor elektrik diberi jaminan selama 8 tahun

Mungkin ramai yang merasakan harga RM 546,000 ini agak keterlaluan sedangkan anda boleh memilih Tesla Model Y yang lebih murah. Tapi ini semua pilihan, jika anda perlukan sebuah SUV eksekutif yang mewah dengan jarak pemanduan mencecah 737km, iX50 adalah pilihan tepat.

Google ads
Back to top button