
MERCEDES-BENZ AUTOHAUS BUKIT TINGGI RASMI DIBUKA
Mercedes-Benz Malaysia dengan kerjasama Hap Seng Star, melancarkan Autohaus terbaharu di Bukit Tinggi, Klang.
Autohaus baharu itu mempunyai keluasan 49,543 kaki persegi dan dibina di atas tanah seluas lebih 142,000 kaki persegi.
Dengan keluasan tersebut, ia mampu memuatkan 45 kereta di bilik pameran selain menampilkan kemudahan baharu seperti Star Lounge, kafe layan diri, bilik permainan kanak-kanak serta ruangan khas untuk wanita.

Untuk rekod, Hap Seng Star Bukit Tinggi Autohaus mempunyai kapasiti servis sehingga 900 kereta sebulan dengan mendapat sentuhan daripada juruteknik terlatih dari Mercedes-Benz.
Selain itu, turut tersedia ialah Pengecas DC 120kW serta kemudahan pengecasan EV di mana ia mampu memuatkan empat buah kenderaan EV dalam masa yang sama.
Perkhidmatan lain ditawarkan terdiri daripada tempahan servis drop & go, pengimbangan dan penjajaran tayar, pembaikan komponen elektrik, cat, window tint, serta tuntutan jaminan dan insurans.
Setakat ini, Hap Seng Star mengendalikan sejumlah sembilan Autohaus, merangkumi lokasi di Kuala Lumpur, Kinrara, Balakong, Jalan Ipoh, Setia Alam, Bukit Tinggi, Melaka, Kuching, dan Kota Kinabalu.
Hap Seng Star juga mengendalikan Mercedes-Benz Certified Pre-owned Centre di Kinrara dan pusat Body & Paint di Shah Alam.