Buletin

SETENGAH JUTA HONDA CR-V DIPANGGIL SEMULA, MASALAH KERANGKA BELAKANG BERKARAT

Honda memanggil semula kira-kira 563,711 unit Honda CR-V tahun 2007-2011 terutama unit yang terletak di negeri-negeri beriklim sejuk.

Ini kerana kakisan daripada garam dan agen penyah ais yang digunakan boleh menyebabkan kakisan teruk pada struktur kerangka belakang, dan berisiko menyebabkan komponen trailing arm tercabut.

Kempen panggil semula ini ditujukan kepada pemilik Honda CR-V yang mendaftarkan kenderaan mereka di negeri-negeri berikut: Connecticut, Delaware, Illinois, Indiana, Iowa, Kentucky, Maine, Maryland, Massachusetts, Michigan, Minnesota, Missouri, New Hampshire, New Jersey, New York, Ohio, Pennsylvania, Rhode Island, Vermont, Virginia, West Virginia, Washington D.C., dan Wisconsin

Setakat ini, Honda mencatatkan aduan daripada 61 orang pelanggan di Amerika Syarikat, dan mujur tiada sebarang kemalangan atau kecederaan yang disebabkan oleh masalah ini.

Bergantung kepada situasi, juruteknik akan memeriksa dan menentukan tahap pembaikan berdasarkan keupayaan mereka untuk mencabut bolt yang memegang komponen trailing arm belakang.

Jika perlu, juruteknik akan memasang pendakap sokongan kepada kerangka, membaiki kerangka tersebut atau menawarkan pembelian semula kenderaan yang terjejas.

Difahamkan, masalah ini kali pertama dikesan di Kanada pada Januari 2019, dan setelah beberapa aduan diterima di Amerika Syarikat, Honda membeli semula sebuah CR-V pada Julai 2020 untuk tujuan kajian, sebelum mereka membuat keputusan untuk mengumumkan kempen panggil semula pada Mac 2023. – NHTSA

Google ads
Back to top button