
PANDU UJI: TAYAR DUNLOP SP SPORT J5. TAYAR MURAH TAPI SEDAP
Nak tayar mahal, kami boleh tunjukkan pelbagai jenama yanga ada di pasaran, dari mahal sampai la pada harga yang mencecah 4 angka seunit. Tapi nak cari tayar murah dan sedap, agak susah sebenarnya. Ya la, dah nama pun murah mesti ada banyak kekurangan pada tayar tersebut.
Tapi selepas beberapa tahun, barulah penulis perasan yang kebanyakan tayar yang dipakai pada kereta belasahan milik penulis (Axia, Myvi, Bezza & Saga) kebanyakan menggunakan tayar dari jenama Dunlop. Atau lebih spesifik Dunlop Sport J5. Kalau pergi ke mana-mana kedai pun, penulis akan cuba mengekalkan jenama tayar ini pada kereta
Jadi selepas 3 – 4 tahun menggunakan tayar Dunlop Sport J5 ini, berikut ialah pemerhatian penulis:
1. Cengkaman waktu kering – untuk tayar yang bukan dari jenis ECO dan berstatus Entry Level, cengkaman tayar Dunlop Sport J5 ini boleh dikatakan bagus. Malah lebih bagus dari Dunlop Enasave 300 yang pernah dicuba oleh kami terutama di jalan berselekoh.

Jika Enasave cenderung untuk menjadi understeer ketika selekoh, Dunlop Sport J5 akan mencengkam permukaan jalan di selekoh dengan baik. Lebih baik daripada tayar yang dibekalkan oleh OEM di kilang kereta. Inilah sebab utama penulis sukakan tayar ini
2. Cengkaman pada hari hujan – bentuk blok bunga tayar Dunlop Sport J5 ini adalah seakan-akan bentuk V boleh membelah permukaan jalan basah dengan bagus. Bagi Axia, ia masih boleh bertahan dalam hujan pada halaju sekitar 90km/j bergantung pada berapa banyak permukaan jalan ditenggelami air

Tapi jangan push terlalu agresif terutama di jalan basah dengan selekoh S, kerana jika terlalu laju cengkaman mekanikal antara tayar dengan jalan akan hilang terus. Ini bermakna jika anda berani memandu dalam hujan pada halaju 90km/j di jalan lurus, pastikan anda ambil selekoh pada 70km/j sahaja.
Gabungan understeer dan sedikit oversteer menyebabkan peluh jantan merembes laju.
3. Pengendalian – ini bukanlah tayar prestasi tinggi ataupun tayar ECO, pada pendapat kami ia hanya lebih baik berbanding dengan tayar entry level yang lain. Tindakbalas antara input steering dengan reaksi kereta adalah biasa sahaja, tapi masih lagi OK

4. Kadar kehausan – kadar treadwear tayar ini adalah 340, jika dibandingkan dengan tayar prestasi tinggi adalah sekitar 200-280. Sesetengah tayar entry level menggunakan treadwear sehingga 500. Bagus kalau anda selalu memandu seperti memandu untuk aplikasi Grab, tapi ia akan mengurangkan kecekapan tayar ketika membrek.
Dengan anggaran pemanduan 30,000km setahun, tayar ini boleh dipandu dengan selesa sehingga 60,000km. Anda masih boleh menggunakan tayar ini lebih daripada itu, tapi prestasi cengkaman tayar pada hari hujan dan kering akan terjejas.
5. Kelemahan – disebabkan tayar ini adalah tayar ekonomi atau tayar bajet, maka kelemahan utama tayar ini ialah bunyi tayar yang sangat kuat apabila dipandu di lebuh raya dan bunyi ini menjadi bertambah kuat apabila melalui jalan yang sudah rosak. Tapi ia amat bagus bagi menghalang bini anda membebel pasal kesalahan yang anda buat 10 tahun lepas

Apabila dipandu untuk perjalanan jarak jauh, bunyi tayar ini akan menjadi satu faktor utama kepada kelesuan pada pemandu. Memasuki tahun kedua, maka bunyi ini akan menjadi semakin teruk. Jika anda perlukan tayar yang lebih senyap, maka tayar ini bukan jenama pilihan utama.
Harga bagi tayar ini adalah sekitar RM 130-140 seunit boleh lagi dikategorikan mampu milik bagi saiz biasa iaitu 175/65 R14. Malah beza harga tayar ini dengan lain-lain jenama yang baru muncul hanyalah RM 10 sahaja. Maka dengan harga yang ditawarkan, kelebihan dan kekurangan tayar ini masih boleh diterima