Buletin

MICHELIN LANCAR 4 TAYAR MOTOSIKAL SIRI POWER. PRESTASI TINGGI. HARGA BERMULA RM423 HINGGA RM706

Michelin Malaysia melancarkan empat model tayar siri Power berprestasi tinggi baharu khusus untuk motosikal. Empat model tersebut merupakan Power 5, Power GP, Power Cup 2 dan Power Slick 2.

Produk terbaharu ini sesuai digunakan untuk penunggang yang mencari cengkaman terbaik sama ada di atas jalan biasa ataupun litar.

Michelin Power 5 dan Power GP direka lebih kepada penggunaan atas jalan. Ia dibentuk daripada getah inovatif campuran bahan silika dan karbon hitam.

Dengan memiliki nisbah 100 % jalan biasa, model Michelin Power 5 amat sesuai digunakan ketika cuaca kering dan selamat digunakan dalam keadaan jalan basah.

Power GP pula didatangkan dengan 50% jalan biasa dan 50% litar. Ia sekali gus menjadikan tayar ini sebagai pilihan tepat untuk kegunaan pada jalan biasa dan litar serta mereka yang suka menunggang dengan kelajuan tinggi.

Dalam pada itu, dua model lagi iaitu Power Cup 2 dan Power Slick 2 dibangunkan lebih kepada penggunaan di litar dan perlumbaan.

Power Cup 2 didatangkan dengan nisbah 10 % jalan biasa dan 90% litar manakala Power Slick 2 sepenuhnya litar.

Kesemua tayar prestasi siri Power ini berkongsi teknologi sama yang termasuk bentuk binaan ACT+, bahan dual compound serta rekaan bunga yang dihasilkan melalui kiraan komputer.

 Bahagian tepinya juga mempunyai tanda unik Michelin yang menggunakan tona warna hitam berbeza.

“Setiap tayar yang baru dilancarkan ini mempunyai karektor prestasi spesifik tersendiri melalui penggunaan bahan berteknologi serta rekaannya.

“Reka bentuk unik, serta keseimbangan pintar antara fleksibiliti dan ketahanan, menawarkan prestasi tinggi sehinggalah pada sudut mengambil selekoh yang paling condong,” kata pengarah komersial Michelin 2-Wheel Asia, Ross Shields.

Tags
Google ads
Back to top button