Buletin

GARA-GARA RUANG STORAN CAKERA PENUH, 14 KILANG TOYOTA DI JEPUN BERHENTI OPERASI

Kilang automotif lama biasanya beroperasi 24 jam sehari, 7 hari seminggu, namun sekiranya terdapat gangguan operasi, ia memaksa syarikat menelan kos kerugian ribuan atau berjuta-juta dolar.

Toyota baru-baru menerima nasib buruk apabila beberapa kilang pemasangannya di Jepun mengalami serangan siber.

Seperti dilaporkan oleh The Guardian, kesemua 14 kilang pemasangan Toyota di Jepun menghadapi masalah tersebut pada 29 Ogos lalu.

Menurut Toyota, insiden itu terjadi kerana terdapat sistem pesanan produksi gagal berfungsi akibat kekurangan ruang storan cakera.

Toyota dalam satu kenyataan mengatakan bahawa data yang terkumpul dalam pangkalan data telah dipadamkan dan disusun, tetapi ralat berlaku kerana ruang cakera tidak mencukupi.

“Kegagalan ini menyebabkan semua kilang Jepun Toyota terhenti seketika,” memetik kenyataan Toyota berhubung insiden berkenaan.

Secara matematik, purata pengeluaran 14 kilang adalah sekitar 13,500 kenderaan sehari secara keseluruhan. Berdasarkan purata harga jualan serta kadar pengeluaran semasa, Toyota kehilangan pengeluaran sehari penuh dan menyebabkan kerugian sehingga $356 juta (RM1.7 bilion).

Walau bagaimanapun, ini bukan kali pertama Toyota mengalami masalah mengejut yang menyebabkan operasi dihentikan seketika.

Tahun lalu, kilang dihentikan selama sehari apabila salah satu pembekal Toyota melaporkan pelayan (server) telah diserang virus.

Isu itu menimbulkan persoalan tentang keselamatan siber rantaian pengeluaran, walaupun Toyota menyatakan dengan jelas bahawa tiada serangan siber yang terlibat dalam insiden baru-baru ini.

Google ads
Back to top button