Buletin

KIT HONDA ACCESS UNTUK CIVIC TYPE R, LAGI MERIAH!

Honda Civic Type R versi dipertingkatkan mula diedar di Jepun pada 9 Oktober dan serentak dengan itu Honda Access Co., Ltd. menawarkan kit aksesori tulen buat pemilik yang mahukan sesuatu berbeza.

Aksesori yang ditawarkan dari luar hingga ke dalam kereta dan menariknya aksesori sekecil filem perlindungan pembuka pintu pun boleh dibeli.

Untuk bahagian luar banyak aksesori ditawarkan dan paling menyerlah ialah roda MR-RO2 dalam warna Championship White dengan saiz 20 x 8 1/2J dan PCD 120 mm.

Roda Modulo itu dengan kombinasi angkup brek merah benar-benar menaikkan penampilan Civic Type R.

Satu lagi aksesori yang agak ketara tetapi halus buatannya ialah bingkai kemasukan udara pada bonet enjin yang dibuat dari karbon dengan jalinan merah. Konsep bahan yang sama turut digunakan pada spoiler belakang.

Jika kemasan komponen itu nampak halus, warna merah pada gril depan menaikkan lagi seri warna kontra sedan berprestasi ini. Pembeli juga ditawarkan pelindung cermin sisi warna merah atau hitam kristal mutiara.

Selain filem pelindung pembuka pintu, banyak lagi lokasi dengan filem pelindung yang ditawarkan seperti bahagian hujung pintu, ambang pintu dan bampar belakang. 

Filem dalam warna jernih tersebut dapat melindungi kereta dari calar atau serpihan tajam.

Bagi melindungi keseluruhan kereta kesayangan semasa parkir, Honda menawarkan selimut kereta dengan logo Honda dan saiznya mengambil kira spoiler tinggi dan besar pada Civic ini.

Kamera depan pula ditawarkan untuk membantu pemandu di lokasi sukar seperti persimpangan dengan jangkauan penglihatan rendah. 

Untuk bahagian dalam, kit Honda Access terdiri daripada panel papan pemuka dari karbon dengan jalinan merah seperti bingkai pada but dan spoiler. 

Panel itu turut ditawarkan pada konsol tengah dan kulit pintu. Tombol gear pula diperbuat dari aluminium dan dibalut kulit asli warna merah.

Turut menyerlah apabila nyalaan merah dihidupkan pada ruang kaki, pembuka pintu dan di sebelah dalam poket pintu. Aksesori lain ialah alas kaki dan pelindung ambang pintu.

BACA: HONDA ACCORD 2021, SAMA TETAPI TIDAK SERUPA

BACA: HONDA FIT B-SPEC CONCEPT DARI HPD UNTUK LITAR LUMBA

BACA: HONDA RIDGELINE 2021 – LEBIH RUGGED DAN MACHO!

Kredit foto: Honda

Google ads
Back to top button