Artikel Pilihan

ASAL USUL PERLUMBAAN. INGAT SUKA-SUKA BERLUMBA

Manusia yang normal pasti ada kemahuan untuk berlumba, semenjak terciptanya kereta pertama yang digerakkan oleh enjin. Ia mungkin dikaitkan dengan faktor genetik manusia itu sendiri yang sentiasa dahagakan cabaran dan deruan adrenalin ketika memandu laju. Pengeluar kereta pula mengambil kesempatan untuk menunjukkan kekuatan kejuruteraan apabila jentera mereka menang

Dalam artikel kali ini penulis cuba mencari asal usul 4 perlumbaan kenderaan bermotor yang popular di dunia yang meliputi kategori Formula 1 (open wheel), Le Mans (endurance), Dakar Rally (rally endurance) dan juga NASCAR

1. Formula 1 – sejarah sukan F1 boleh dijejaki menerusi dokumen sehingga tahun 1950an, tapoi tahukah anda perlumbaan F1 sebenarnya telah bermula sebelum perang dunia kedua lagi. Namun perlumbaan sebelum perang dunia sebenarnya tidak dikawal selia oleh mana-mana badan perlumbaan. Saiz enjin, rekaan, dan formula rahsia bahan api digunakan sesuka hati

Perkataan Grand Prix (grand prize) merupakan perkataan Peranchis yang digunakan pada tahun 1901 di Le Mans. Era sebelum perang menyaksikan dominasi pasukan Itali, Jerman dan sesekali dimenangi oleh jentera dari United Kingdom dengan litar perlumbaan bersepah di benua Eropah. Pada tahun 1946 barulah Federation Internationale de I’Automobile ditubuhkan bagi mengawal selia aktiviti sukan permotoran

FIA menetapkan beberapa set peraturan bagi menjadikan perlumbaan ini lebih adil, lebih selamat dan menarik lebih banyak penyertaan. Peraturan ini dikenali dengan nama Formula 1. Perlumbaan pertama diadakan di Litar Silverstone (bukan di Taiping) tapi di Utara England tapi edisi pertama didominasi oleh pasukan Alfa Romeo dan Nino Farina menjuarai edisi pertama F1.

Antara syarat-syarat yang ditetapkan oleh FIA ketika itu ialah pemandu mesti memegang Super License, trek lumba gred A dan ketika musim pertama perlumbaan jentera yang digunakan ialah enjin di depan dengan sesaran 1.5 Liter supercaj atau 4.5 Natural Aspirated. Pada tahun 1954 FIA menetapkan saiz enjin tidak boleh melebihi 2.5 liter

2. Le Mans – merupakan perlumbaan yang juga boleh dijejaki bermula seawal tahun 1923 yang dianjurkan oleh Automobile Club de l’Ouest di Circuit de la Sarthe sepanjang 13km. Berbeza dengan Formula 1 yang menumpukan kepada kepantasan pecutan dalam 200 batu, Perlumbaan Le Mans 24 Hours merupakan perlumbaan ala marathon jarak jauh.

Disebabkan minat yang mendalam dalam kejuruteraan automotif di kalangan penduduk Peranchis, mereka berpendapat kereta-kereta yang dihasilkan oleh Peranchis perlu diuji di litar selain perlumbaan F1. Ia bertujuan untuk menguji ketahanan mental pelumba, keupayaan jentera untuk berlumba selama 24 jam, tangkas dan boleh diharap. Jentera yang dihasilkan bukan sahaja perlu laju, tapi boleh bertahan dalam apa jua keadaan.

Perlumbaan pertama di adakan pada 26 dan 27 May 1923 di Le Mans dengan jentera dari United Kingdom dan Itali serta Peranchis silih berganti merebut tempat pertama. Juara edisi pertama ialah Andre Lagache dan Rene Leonard yang memandu Chenard & Walcker sejauh 2092km dalam tempoh 24 jam.

Setelah perang dunia kedua tamat, Le Mans memulakan semula perlumbaan pada tahun 1949 dengan 100 penyertaan di mana ia disertai semula oleh syarikat automotif ternama dunia seperti Jaguar, Ferrari, Aston Martin dan Mercedes Benz bagi membuktikan kemampuan jentera mereka menewaskan lawan dalam perlumbaan lasak ini. Edisi pertama dimenangi oleh Luigi Chinetti dari Amerika yang mewakili Ferrari dengan jentera Ferrari 166MM.

3. Dakar Rally – pada tahun 1977 seorang penunggang motosikal rali berpengalaman Thierry Sabine telah sesat di Gurun Tenere, yang merupakan sebahagian daripada Gurun Sahara. Ketika itu Thierry sedang berlumba di antara laluan Abidjan-Nice. Ketika sesat dia mendapati laluan yang dilalui amat menarik dan sesuai untuk dijadikan trek perlumbaan lasak

Jadi Thierry mengemukakan cadangan ini kepada penganjur dan pada 26 Disember 1978, 182 pelumba yang terdiri daripada 170 pasukan memulakan perlumbaan dari Paris ke Dakar, Senegal sejauh 10,000km. Perlumbaan ini merentasi Peranchis, Algeria, Nigeria, Mali, Volta dan berakhir di Senegal

3000km merupakan laluan yang merentasi bukit gurun berpasir, lumpur, rumput, laluan berbatu dan padang pasir sejauh mata memandang. Perlumbaan ini berakhir pada 14 Januari 1979 dengan kategori motosikal dimenangi oleh Cyril Neveu dari pasukan Yamaha manakala bagi kategori kereta dimenangi oleh pasukan Range Rover

4. NASCAR – ia merupakan singkatan kepada The National Association for Stock Car Auto Racing dan sejarah perlumbaan ini boleh dijejaki sehingga peristiwa pengharaman alkohol di Amerika pada tahun 1920-1933. Macam kelakar pulak kan. Gerakan pengharaman alkohol ini diketuai oleh CEO General Motor ketika itu Alfred Sloan.

Alkohol tidak boleh dijual dan diedarkan secara terbuka, namun ia tidak menghalang pengusaha kecil-kecilan yang menghasilkan arak secara haram untuk kegunaan sendiri bagi menjual arak tersebut dan mengaut keuntungan. Pengedaran alkohol memerlukan pengangkutan yang pantas iaitu kereta dan ia dipandu oleh pemandu tempatan yang tahu selok belok jalan pintas bagi mengelakkan polis

Mereka memandu di waktu malam tanpa lampu bagi mengelakkan dikesan oleh pihak berkuasa. Bagi mengelakkan mereka dikesan, kereta tersebut mestilah dalam keadaan standard habis atau stock dalam slang Amerika. Kalau kengkang sikit confirm polis syak. Namun tempat duduk belakang dibuka, ruang kargo diubahsuia menjadi lebih besar, suspensi belakang diperkukuhkan dan besi perlindungan dipasang di depan enjin.

Mereka juga menghabiskan duit untuk mencari tayar terbaik yang boleh dibeli pada waktu itu, tayar yang pecah ketika dikejar polis bermakna mereka akan dipenjarakan untuk tempoh masa yang panjang. Apabila pemandu ini tidak ada penghantaran untuk dibuat, mereka akan berlumba sesama mereka pada hujung minggu.

Jalan awam, lebuh raya, dan juga jalan kebun merupakan trek perlumbaan pilihan mereka. Keadaan ini menjadi semakin popular dan mereka mula mewujudkan liga perlumbaan mereka sendiri. Apabila larangan jualan arak ini ditarik balik pada 1933, pemandu ini mendapati mereka tiada lagi pekerjaan dan mula menghabiskan masa untuk berlumba.

Selepas perang tamat, beberapa persatuan perlumbaan professional tidak membenarkan pemandu dan penyeludup arak ini berlumba mungkin kerana risaukan imej kelab mereka tercalar. Pada 14 Disember 1947, seorang mekanik prosfesional Bill France Sr. mengadakan mesyuarat pertama bagi menubuhkan NASCAR ditubuhkan secara rasmi.

Pada bulan Februaru 1948, perlumbaan pertama NASCAR diadakan di Daytona. Ia dimenangi oleh Red Byron dengan menggunakan jentera Ford Coupe V8.

Google ads
Back to top button