Buletin

MIROS NAFI LAPORAN MEDIA SOSIAL – HAD LAJU MOTOSIKAL 60km/j SELAMATKAN NYAWA

MIROS menafikan laporan satu blog bertajuk “Had laju motosikal 60 km/j selamatkan nyawa – Mitos terbukti karut!”.

Laporan blog tersebut mendakwa MIROS telah membuat kesimpulan bahawa kemalangan jalan raya melibatkan penunggang motosikal akan turun jika had laju motosikal yang lebih rendah dikenakan.

Blog itu memetik maklumat melalui kertas jurnal pada tahun 1999 bertajuk “Fatal Injuries in Malaysian Motorcyclists” yang ditulis oleh sekumpulan penyelidik dari Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Universiti Putra Malaysia dan diterbitkan oleh International Medical Research Journal.

Dalam kertas jurnal itu, ada dinyatakan majoriti (35.1%) kematian akibat nahas melibatkan penunggang motosikal berlaku di jalan raya yang had lajunya 70 km/j. Diikuti dengan 24.3% kematian berlaku di jalan raya yang had lajunya 50 km/j.

Konteks ayat itu hanya menyatakan statistik kemalangan melibatkan penunggang motosikal berdasarkan had laju jalan tersebut. Namun, kertas jurnal itu tidak menyatakan dengan menurunkan had laju motosikal, ia boleh mengurangkan kemalangan.

Semua pengguna jalan ray a termasuk penunggang motosikal perlu mematuhi kelajuan seperti yang ditetapkan oleh had laju bagi setiap jalan, sama seperti kenderaan-kenderaan yang lain.

Hal ini boleh mengurangkan risiko perbezaan kelajuan yang akan mengakibatkan impak yang lebih tinggi sekiranya berlaku kemalangan.

Perlu dinyatakan juga bahawa MIROS hanya ditubuhkan pada tahun 2007 dan pernyataan kajian MIROS pada tahun 1999 tersebut adalah tidak benar.

Dakwaan penyelidikan ini digunakan oleh MIROS bagi mempromosi penurunan had laju motosikal pada masa itu juga tidak benar.

Buat masa sekarang, Kementerian Pengangkutan dan jabatan/agensi di bawahnya masih dalam peringkat untuk meneliti beberapa cadangan untuk meningkatkan tahap keselamatan pengguna jalan raya secara komprehensif. Terutama yang melibatkan motosikal bersama pihak-pihak yang berkepentingan.

Maklumat lanjut mengenai perkembangan kajian dan pelaksanaan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Google ads
Back to top button