Buletin

AUDI CHARGING HUB NUREMBERG. FASILITI PENGECASAN EV URBAN PREMIUM UNTUK SEMUA. BOLEH KE NAK BUAT KONSEP SAMA DI MALAYSIA?

Seperti yang kita sedia maklum, antara cabaran utama untuk beralih daripada kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE) ke kereta elektrik ialah infstruktur pengecasan. Kemudahan itu bukan sahaja perlu banyak, malah harus memberi kemudahan kepada pengguna. 

Ya lah, bukan semua orang duduk di rumah landed yang membolehkan mereka memasang wallbox di kediaman masing-masing. Jadi, fasiliti pengecasan yang maju dan mesra pengguna amatlah diperlukan. 

Dalam lawatan ke Jerman baru-baru ini, saya berpeluang mengunjungi fasiliti hub pengecasan Audi (Audi Charging Hub) di Nuremberg. Dari jauh, bangunan dua tingkat yang berhampiran sebuah pusat pameran itu tampil dengan reka bentuk moden dan minimalis. 

Ketika sampai selepas memandu hampir tiga jam dari Neckarsulm, beberapa buah EV pelbagai jenama sedang dicaj di sana. Melihat kepada takat bateri yang masih tinggal kurang separuh, pastinya ini adalah masa terbaik untuk memenuhkan kembali bateri sebelum bergerak ke Munich yang jaraknya lebih 300km. 

Untuk makluman, konsep pengecasan yang pertama seumpamanya di dunia ini merupakan projek perintis Audi dalam setting urban dan mula beroperasi pada 23 Disember tahun lalu. Ia menawarkan pengalaman pengecasan yang premium menerusi  enam ruang pengecasan pantas (DC) sehingga 320kW.  

Kadar itu memang sesuai untuk Audi e-tron GT yang membolehkannya bergerak sejauh 100km untuk pengecasan hanya lima minit. Manakala tempoh mengecas dari 5 hingga 80 peratus cuma memakan masa 23 minit. 

Keunikan pusat hub pengecasan Audi itu terletak pada asasnya yang dikenali sebagai cube. Kiub kontena fleksibel yang bolehkah dikatakan sebagai power bank gergasi itu diletakkan di tingkat bawah yang dipagagar dan dicat berwarna hitam.

Kiub berkenaan terdiri daripada bateri lithium-ion terpakai yang telah diproses berfungsi sebagai sistem storan tenaga. Terima kasih kepada storan sementera tenaga berkapasiti 2.45MWh, stesen pengecasan tersebut hanya memerlukan sekitar 200kW tenaga hijau yang sudah cukup untuk memenuhkan modul-modul storan bateri. 

Dengan keupayaan itu, hub pengecasan Audi boleh mengecaj sehingga 80 buah EV setiap hari tanpa perlu mencapai had maksimum sistem storan tenaganya. 

Harus tahu bahawa pusat pengecasan itu boleh digunakan oleh sesiapa sahaja dengan keistimewaan pastinya diberikan kepada pemilik EV Audi. Apabila naik ke lounge di tingkat atas yang berkeluasan 2,153 kaki persegi, pelanggan boleh mendapatkan minuman sejuk, kopi dan snek melalui mesin vending yang disediakan. 

Selepas membeli makanan atau minuman dan menggunakan bilik air, anda boleh berehat di sofa atau melepak menikmati udara segar di patio. Bagi mereka yang ada tugasan untuk disiapkan, tidak perlu risau kerana kerusi meja yang lengkap dengan penghadang boleh digunakan dengan selesa. 

Kalau bosan, pengunjung boleh menggunakan konfigurator yang ada untuk mengkofigurasi kereta Audi idaman. Tidak pasti status pengecasan kereta? Lihat sahaja pada skrin yang menunjukkan peratusan kereta yang sedang dicaj.

Buat masa sekarang, pelanggan yang menggunakan kemudahan ini dan mempunyai kontrak e-tron Charging Service boleh menikmati caj sekitar 31 sen euro (RM1.45) bagi setiap kilowatt jam, tanpa mengira kadar kelajuan yang digunakan. Bagi memudahkan penggunaannya, pelanggan Audi boleh membuat tempahan slot pengecasan melalui aplikasi myAudi lebih awal. 

Sepanjang tempoh projek perintis ini berjalan, Audi akan menempatkan seorang kakitangan untuk membantu memenuhi keperluan pelanggan bermula jam 10 pagi hingga 7 petang. Tetapi, ruang pengecasan dan lounge itu boleh digunakan pada bila-bila masa. 

Peluang mengunjungi Audi Charging Hub sememangnya membuka mata saya tentang kebolehlaksanaan idea ini di negara-negara lain termasuklah Malaysia.

Walaupun peralihan ke EV di Malaysia masih di peringkat awal, namun kemudahan ini boleh menjadi antara contoh untuk penyedia stesen pengecasan merangka fasiliti masing-masing. 

GALERI

Google ads
Back to top button