
PROTON CATAT HASIL JUALAN SEBANYAK 10,999 UNIT PADA JUN
Pengeluar kereta nasional PROTON mencatatkan hasil jualan sebanyak 10,999 unit pada bulan Jun (domestik dan eksport) untuk mengekalkan kedudukan kedua dalam carta jualan automotif.
Jumlah jualan untuk bulan tersebut terganggu akibat penutupan kilang selama seminggu yang dirancang untuk peningkatan operasi berjadual, namun secara keseluruhan, Syarikat mencapai pegangan pasaran sebanyak 19.1 peratus pada bulan lalu, sama dengan angka pegangan pasaran tahun sehingga kini (YTD).
Untuk rekod, jumlah jualan untuk separuh pertama tahun 2024 ditutup pada 73,696 unit.
Jumlah volum industri (TIV) untuk bulan Jun dijangka terendah untuk mana-mana bulan tahun ini.

Sebanyak 57,700 unit dianggarkan terjual bulan lepas, lebih rendah daripada April yang sebelum ini digelar sebagai bulan terendah akibat cuti perayaan.
Walau bagaimanapun, angka TIV untuk enam bulan pertama tahun 2024 dianggarkan sebagai 386,600 unit, hampir 20,000 unit lebih berbanding tempoh yang sama pada tahun 2023 ketika TIV mencapai rekod tertinggi baharu.
Jun lalu menyaksikan beberapa peristiwa penting bagi Proton termasuk pelancaran jenama kenderaan elektrik (EV) e.MAS, pelancaran kenderaan ke-5 juta dari barisan pengeluarannya dan pelancaran model Proton X50 baharu.
Hasilnya adalah peningkatan serta-merta dalam volum jualan Proton X50 dimana ia kembali ke tangga teratas kelas SUV segmen B dengan 1,711 unit terjual, merupakan prestasi terbaik selama tiga bulan.

Jumlah pengeluaran kenderaan dijangka akan meningkat selepas peningkatan operasi berjadual dan oleh itu, volum jualan juga bakal melonjak pada bulan-bulan akan datang.
Satu lagi model menjadi peneraju segmennya adalah Proton S70, mendahului jualan sedan segmen C setiap bulan pada tahun 2024, mencatatkan jualan sebanyak 1,440 unit pada Jun.
Proton Saga yang sentiasa popular mencatatkan jualan sebanyak 5,441 unit pada bulan Jun, menjadikan jumlah jualan YTD kepada 34,838 unit.
Secara purata, lebih daripada 5,800 unit telah dijual setiap bulan, menjadikannya salah satu kenderaan terlaris di negara.
Lebih banyak kejayaan dicatatkan oleh Proton Persona apabila jualan 1,309 unit pada bulan Jun memadai untuk menduduki tempat kedua teratas bagi bulan tersebut dan mengekalkan kedudukannya sebagai model sedan segmen B kedua terlaris tahun ini.
Bagi model-model yang lain, Proton X70 dan Proton X90 mencapai jualan sebanyak 481 unit dan 248 unit, sementara Proton Iriz menamatkan bulan Jun dengan 369 unit terjual.
- BACA: TERKINI: APRILIA RS 457 LANCAR DI MALAYSIA SUKU KETIGA TAHUN INI – RM3X,XXX
- BACA: INI CONTOH KEJURUTERAAN MALAS, ATAU TAK CUKUP MODAL
- BACA: MERCEDES-AMG GLA45S 4MATIC+ 2024 TIBA DI PASARAN MALAYSIA – 421HP, HARGA BERMULA RM539K
- BACA: MERCEDES-AMG GLB35 4MATIC 2024 DILANCARKAN – JANA 306HP, HARGA BERMULA RM418K







