Buletin

MITSUBISHI ASX 2019 – KINI DENGAN WAJAH DYNAMIC SHIELD

SHARE

Mitsubishi Motors Corporation (MMC) dijangka memperkenalkan SUV kompak ASX terbaharunya pada acara Geneva International Motor Show 2019, bulan depan. 

Sejak dilancarkan pada tahun 2009, Mitsubishi Motors telah berjaya menjual 1.32 juta unit ASX di 90 buah negara termasuklah Malaysia. Pasaran terbesar ASX adalah di Amerika Utara, Eropah, Australia dan China. 

Berdasarkan popularitinya, ASX sememangnya penting dalam strategi global Mitsubishi. 

Justeru, model baharu itu disegarkan dengan perubahan ketara bahagian luaran yang menggunakan konsep rekaan ”Impact and Impulse.” Sekali gus selari dengan tagline global MMC iaitu “Drive your Ambition.”

Bahagian hadapan ASX menampikan evolusi reka bentuk Dynamic Shield Mitsubishi. Bamparnya disepadukan dengan sepasang lampu utama LED nipis, kemasan krom yang lebar hingga ke bawah, perumah lampu kabus dan skid plate. Rekaan itu nyata berjaya membuatkan bonet kelihatan lebih garang 

Sementara di bahagian belakang pula, Mitsubishi memasang lampu kombinasi LED dan kemasan krom pada bawah bamparnya. 

Ruang kabin menerima Smartphone-link Display Audio (SDA) yang telah ditambah baik dan mampu menawarkan lebih banyak ciri ketersambungan. Saiz skrin paparan ditingkatkan menjadi lapan inci.

Video yang disimpan di dalam USB kini boleh ditonton di skrin apabila kenderaan  berhenti. Maklumat trafik pada masa sebenar juga boleh diakses menerusi sambungan internet dari telefon pintar.  

Di kebanyakan pasaran, SUV itu menggunakan khidmat enjin 16 injap 2.0L MIVEC yang dipadankan dengan kotak gear manual lima kelajuan atau automatik INVECS-III CVT enam kelajuan bersama ciri Sports Mode. 

ASX 2019 yang dilengkapi pacuan dua atau empat roda itu didatangkan dalam tiga warna baru iaitu merah, oren dan coklat. 

Tags
Google ads
Back to top button