ROLLS-ROYCE GHOST OASIS EDITION – MEMANG KENA DENGAN JIWA PAK ARAB
Sebagaimana yang kita tahu, negara Arab merupakan antara pasaran penting kenderaan ultra mewah Rolls-Royce.
Memandangkan begitu ramai hartawan di sana, maka tidak hairanlah jika kita boleh melihat bermacam-macam bentuk modifikasi model Rolls-Royce dilakukan oleh pak Arab yang duit banyak tak tau nak buat apa.
Contoh terbaru ialah Rolls-Royce Ghost Oasis Edition yang dipamerkan di sebuah bilik pameran Rolls-Royce di Abu Dhabi. Ghost dengan warna luaran dua tona itu menggunakan warna emas Aurum dan Desert Dune (gumuk padang pasir). Manakala bahagian dalamannya hadir dengan kemasan berwarna putih dan emas. Mewah betul…
Menurut pengedarnya, warna biru (Fleet Blue) itu mengingatkan kita kepada air di oasis. Sementara material kulit Moccasin Willow Grain itu pula mengikut tema gumuk pasir yang menjadi latar belakang biasa negara tersebut.
Kemasan venir dibangunkan khas untuk kereta ini. Ia menampilkan kemasan emas pada papan pemuka di bahagian penumpang dan ruang atas panel pintu. Motif negara Timur Tengah diserlahkan dengan grafik sekawan unta sedang bergerak ke sebuah oasis.
Secara keseluruhannya, ia merupakan sebuah Ghost yang unik. Ghost ini digerakkan oleh enjin V12 turbo berkembar bersesaran 6.6 liter yang mampu menjana kuasa 571PS dan tork 780Nm. Pecutan dari 0 hingga 100km/j boleh dilakukan dalam masa 4.9 saat sahaja.
kredit foto: carscoops.com
GALERI