Artikel PilihanBuletin

MITSUBISHI EVO VII ‘EXTREME SC’ – GERGASI ONE OFF BERKUASA 458HP

Anda baharu saja menjadi jutawan segera hasil jualan kosmetik timbang kilo? Ataupun mungkin baharu saja bergelar maharaja sifu coaching bisnes untuk usahawan baru nak up? Ini ada sebuah Evo VII ultra rare untuk dilepaskan. Bukan kat sini tapi di seberang laut. Apa susah duit berkepuk dalam bank kan?

Okey, semua orang kenal Evo VII kan? Evo generasi baru yang menggantikan casis sebelumnya dan dikekalkan sehingga Evo IX. Sejarah Lancer Evo berakhir dengan tamatnya pengeluaran Evo X dan ditangisi oleh peminat di seluruh dunia.

Apa yang spesialnya Evo ‘Extreme SC’ ni? Banyak saudara. Paling utama ia cuma ada sebiji je atas dunia ni. Ini bukan sebuah Evo lama yang ditala sesuka hati oleh pemilik di bengkel-bengkel aftermarket di luar sana. Ia sebaliknya dihasilkan oleh sebuah syarikat yang mempunyai hubungan rapat dengan Mistsubishi Motor.

Diasaskan pada tahun 1999, beberapa syarikat bergabung dengan The Colt Car Company (pengedar Mitsubishi di UK) dan Ralliart UK dan mereka bertanggungjawab membawa masuk model-model Evo ke pasaran UK. Syarikat yang berpangkalan di Dudley ini kemudiannya memperkenalkan beberapa model edisi khas yang dinamakan Evo VI RS, RS Sprint dan 450, VII Extreme S dan RS Sprint.

Hayat Ralliart UK bagaimanapun tak panjang dan ia dijual kepada Colt Car Company dan dijenamakan semula sebagai Xtreme Automobiles. Walaupun proses import dan jualan dilakukan oleh Colt Car Co. Proses penghasilan model edisi khas masih berjalan seperti biasa. Dan inilah asal usus Evo VII yang dinamakan Extreme SC ni. Kalau tak faham jugak, kereta ini sebenarnya dihasilkan oleh Ralliart UK!

Pada satu ketika inilah Evo paling berkuasa yang pernah dihasilkan mereka dengan enjin 2.2 liter sebaris empat dengan crankshaft, piston tempa dan high-lifts canshaft buatan Tomei. Con rod yang lebih besar dihasilkan sendiri oleh syarikat terbabit. Selain daripada itu enjin Evo VII ini turut dilengkapkan dengan injector-injector 1,000cc dan pengecas turbo Apexi. Kuasa maksima ialah sekitar 458bhp pada 5,800rpm dan ia mampu membuat pecutan 0-100km/j hanya dalam masa 3.5 saat. Kuasanya juga boleh ditingkatkan ke 500bhp jika diperlukan.

Macam kami cakap tadi ini bukannya modifikasi mudah dengan peralatan plug and play biasa. Casisnya juga turut diubahsuai khususnya dari segi geometri sistem suspensi dengan menggunakan komponen-komponen yang sama seperti digunakan oleh jentera rali Group N. Sistem breknya disokong dengan penggunaan angkup Alcon 6-piston untuk kuasa henti yang optima. Mahal nak mati harga semua komponen ni weh.

Jentera ini asalnya digunakan sebagai demo produk untuk syarikat sebelum dijual kepada pemilik persendirian. Beberapa individu pernah memilikinya tapi menariknya kebanyakan pemilik sebelum ini lebih banyak menyimpannya di dalam garaj dan bukannya digunakan untuk kegunaan menunjuk kepada bakal-bakal downline.

Kini meter perbatuan kereta ini baru sahaja mencecah 7970 bersamaan dengan lebih kurang 13,000 kilometer. Mana nak dapat Evo macam ni zaman sekarang.

Berminat untuk masuk meminang? Tunggu sahaja tarikh lelongannya pada 13 November ini bertempat di Silverstone Auctions Classic Motor Show. Tapi jangan lupa sediakan wang hantaran yang dianggarkan mencecah RM350,000. Itu baru anggaran, nak selamat kena sedia RM setengah juta la kot. Sempat lagi kumpul downline baru ni.

Kredit carthrottle.com

Google ads
Back to top button