" "
Motosikal

HLYM LANCAR YAMAHA TMAX 560 2021, BERMULA RM72K. DEDAH TRACER 9 GT & MT09

Hong Leong Yamaha Motor kembali mengujakan peminat skuter sport apabila melancarkan Yamaha TMAX 560 2021 ke pasaran tempatan. 

Pengenalan model tersebut dilakukan secara dalam talian dengan tema Luxury in Motion. Jangan terkejut jika saya beritahu harga jentera itu bermula RM72,288 (tidak termasuk insurans dan pendaftaran).

Pelanggan boleh memilih di antara dua warna sama ada hijau (Tech Kamo) dengan rim emas dan kelabu (Tech Grey) bersama rim berwarna hitam.  

Sebagai sebuah skuter berkuasa tinggi, TMAX dijana oleh enjin empat lejang DOHD dua silinder bersesaran 562cc berkuasa 46.9hp pada 7,500rpm dan tork sekitar 55.7Nm pada 5,250rpm. Kuasa itu kemudian disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi V-Belt automatik. 

Aspek keselamatan tidak diabaikan. Jadi, TMAX dilengkapi sistem brek ABS dua saluran dan kawalan cengkaman (TCS). Keseronokan menunggangan skuter berkenaan ditingkatkan dengan ciri D-Mode yang berfungsi memastikan agihan kuasa mengikut keperluan penunggang. 

Jadi, anda boleh mengharapkan pecutan terbaik di lebuh raya dan tunggangan yang lancar di laluan bandar. Apatah lagi, TMAX dibina di atas kerangka yang lebih ringan. 

Keselesaan tunggangan disumbangkan oleh cemin penghadang angin yang boleh dilaras secara eletrik sehingga 135mm. Tangki bahan api berkapasiti 15 liter itu tidak memerlukan anda kerap berhenti di stesen minyak. Anda boleh menyimpan topi keledar dan barangan peribadi dengan selamat di dalam ruang di bawah pelana. 

Walaupun kedengaran tidak perlu untuk cuaca di Malaysia, TMAX didatangkan dengan ciri pemanas pada pendikit dan pelana bagi memberi lebih keselesaan kepada penunggang.   

Skuter harga bangsawan itu hadir bersama beberapa ciri mewah seperti paparan TFT monotone yang memaparkan maklumat penggunaan bahan, speedometer dan sebagainya. Selain lampu utama LED dan sistem kawalan jalajah. 

Dari segi penampilan, wajah TMAX nyata garang dengan rekaan hadapan yang tajam seperti bentuk lampu isyarat membelok LEDyang tirus. Bahagian belakang pula nampak kemas dengan rekaan lampu LED nipis yang berbentuk T.   

Setiap pembeli TMAX akan menerima kunci cakera brel dan Big Bike Key Pouch daripada Royal Selangor secara percuma.

Yamaha MT-09 & Yamaha Tracer 9 GT

Dalam majlis yang sama, HLYM mengambil kesempatan untuk mendedahkan dua model baharu iaitu Yamaha MT-09 dan Yamaha Tracer 9 GT. Bakal dilancarkan pada tahun ini juga, kedua-dua jentera berkenaan menggunakan enjin tiga silinder sebaris bersesaran 889cc. 

Output kuasa adalah adalah seitar 117hp pada 10,000rpm dan torn 93Nm pada 7,000rpm. Kedua-dua motosikal itu menerima dua panel meter TFT yang terpisah.  

Harga MT-09 dan Tracer 9 GT akan diumumkan sewaktu pelancarannya nanti. 

GALERI

Google ads
Back to top button