Artikel Pilihan

KENALI JENTERA RALI TERHEBAT SEPANJANG ZAMAN – MITSUBISHI LANCER EVOLUTION

Kalau nak cerita pasal jentera rali memang banyak pilihannya tapi kita fokus pada satu model sahajalah dan ia diakui sebagai jentera rali terhebat pada zamannya. Persaingan antara Evo dan STI memang cukup sengit di mana keduanya saling bersaing untuk merebut kejuaraan dalam mana-mana perlumbaan yang disertai. Paling popular tentulah kejuaraan WRC.

Ini pendapat kami sendiri dan kalau korang tak setuju pun tak ada masalah. Tak payah nak gaduh-gaduh ataupun bermasam muka. Bukannya kami tak minat dengan Subaru tapi jiwa kami lebih kepada kehebatan Evo. Mungkin sebab dulu biasa pakai Wira kot. Kali fokus lebih kepada generasi EVO IX yang merupakan siri terakhir yang menggunakan kod chasis CT9A. EVO X dah pakai chasis CZ4A dah lain dah, mana masuk WRC pun.

Sebagai permulaan kepada bicara kehebatan EVO IX ni, kita kena ingat yang Mitsubishi telah melengkapkan kereta ini bukan dengan hanya satu tapi tiga LSD! Cruise control dia tak bagi pun sebab apa perlunya cruise control untuk jentera ganas seperti EVO ni. Jadi abang yang cakap Wira lama dia dulu ada cruise control mesti bangga sebab EVO IX pun tak ada cruise control. Er, Wira SE abang tu ada LSD tak?

Kita kena ingat yang EVO bukan dihasilkan hasil dari input yang diberikan golongan tertentu ataupun hasil cadangan dari kelab-kelab peminat permotoran. Ia dihasilkan dengan satu tujuan iaitu untuk memecut dengan pantas di mana-mana laluan tanpa mengira masa ataupun keadaan cuaca. Sifatnya memang kasar dan ganas tapi penuh dengan keupayaan tersembunyi.

kalau dibandingkan mungkin STI kelihatan lebih bertamadun dan elegan. EVO mana ada elegan-elegan ni. Jadi kalau beli nak bawak santai-santai sambil mengeteh dengan member dan bawa anak bini makan angin lupakan sajalah. Baik korang beli Lancer standard je lah sebab EVO ni kalau pandu slow memang tak sedap langsung.

Walaupun EVO diasaskan daripada Lancer sedan ia sebenarnya tak banyak pun persamaan selain rupa paras. Kerangka, suspensi, brek, enjin, kotak gear hatta stereng dan tempat duduk sekali pun memang berbeza dan ia memang unik hanya untuk EVO sahaja. Jadi tak payah la nak menipu diri sendiri dengan menambah pelekat ataupun spoiler fiber glass kat belakang. Ekzos besar gedabak dengan bunyi pung pang pung pang belum menjadikan kereta anda EVO orizainal.

Kalau anda mahukan sistem kawalan stability anda memang salah pilih kereta. Mod keselesaan? Apa tu? EVO tak ada benda tu dan tak perlu ada pun. Yang ada hanyalah selector pilihan permukaan muka bumi untuk active centre differential. Ia boleh melaraskan keperluan kuasa dan tork antara suspensi hadapan dan belakang.

EVO sentiasa bersedia untuk menyerang dan tugas pemandunya cuma satu iaitu mereka mesti sentiasa memandunya dan kelajuan mestilah tinggi (Eh, kami bukan suruh korang pandu laju atas jalan raya atau lebuh raya okey. Ini untuk perlumbaan sahaja khususnya rali).

Percayalah kalau EVO ni ada perasaan, ia tidak berminat untuk bergerak dengan perlahan macam nak cari rumah sewa sambil sebelah tangan pemandu pegang rokok kat luar tingkap. Memang tak sedap pun kalau dipandu dengan putaran enjin bawah 3000rpm. Masa tu mungkin korang tertanya-tanya apa pasal aku beli kereta ni? Itu belum campur dengan bebelan mem besar yang menyampah sebab sakit pinggang dan telinga yang berdengung.

Tapi sebaik dipandu dengan laju dalam keadaan jalan yang berselekoh, EVO akan bertukar karektor dan segera memecut dengan lincah. Rasa ragu-ragu dengan kemampuannya akan bertukar dan anda boleh memecut dengan lebih yakin boh. Olengan badan kereta seakan tidak terasa dan lagu tema Initial D akan berkumandang di corong telinga anda.

Walaupun dua dekad sudah berlalu dan banyak kereta-kereta moden lain yang sudah mampu mengatasi kehebatan EVO namun ia masih mendapat tempat di hati peminatnya. Kalau ada seorang pemberani dan berkemampuan baik belinya sekarang sebelum harga makin melambung tinggi.

Google ads
Back to top button