Buletin

MITSUBISHI MINICAB TRUCK 2024 DIPERKENAL DI JEPUN, DILENGKAPI AS&G, SISTEM BREK TERSALAH TEKAN

Pasaran kenderaan Jepun bukan sahaja menarik dengan kereta mini (kei-car) tetapi juga lori mini.

Tidak hanya dipandang dari jauh, ada syarikat yang membawa masuk lori mini dan seperti biasa dijadikan bahan ubah suai.

Terbaru Mitsubishi memperkenalkan Minicab Truck 2024 dengan beberapa penambahbaikan untuk pelanggan di Jepun.

Minicab mempunyai sejarah panjang bermula dari 1966 dan kini berada di dalam generasi kelapan. Minicab mempunyai gaya badan van dan model elektrik L100 EV dipasang dan dijual di Indonesia.

Satu lagi yang perlu diketahui, Minicab generasi ketujuh dijenamakan semula dari Suzuki Carry.

Di antara pembaharuan yang dibuat ialah penambahan sistem melahu henti (Auto Stop & Go) untuk model manual lima kelajuan bagi meningkatkan kecekapan penggunaan bahan api.

Dari segi kegunaan, Minicab Truck mempunyai pelantar muatan dengan ukuran panjang 2,030  milimeter (mm) dan lantai rendah iaitu 650 mm.

Ukuran lebar bahagian dalam 1,310 mm dan sudut pusingan minimum hanya 3.6 meter (m).

Minicab Truck juga senang dikendalikan, jarak roda pendek dan berkeupayaan untuk melepasi laluan mencabar.

Minicab Truck dibahagi kepada tiga varian iaitu G dengan kelengkapan penuh, Minori sesuai untuk kegunaan pertanian manakala varian M pula dilengkapi perkakasan asas.

Menggerakkan Minicab Truck ialah enjin 660cc dengan kuasa 50 ps pada 6,200 rpm dan 59Nm pada 3,500 rpm.

Ciri-ciri Mitsubishi Minicab Truck 2024:

  • Sistem Auto Stop & Go (AS&G) pada semua varian manual lima kelajuan (5M/T) dan membantu menjimatkan penggunaan bahan api (sekitar 3% berdasarkan WLTC)
  • Sensor parkir belakang dan lampu indikator parkir undur dijadikan ciri standard untuk semua varian
  • Sistem pencegahan tersalah tekan pedal untuk varian G dan Minori
  • Varian G dilengkapi lampu besar LED dan cermin sisi lipatan kawalan elektrik dan tambahan warna Cool Khaki Pearl Metallic
  • M dan Minori dilengkapi sistem kemasukan tanpa kunci, kunci pintu dan tingkap berkuasa

Harga Minicab Truck bermula dari 1,103,300 yen (RM32,893) untuk varian asas M 5M/T 2WD dan sehingga 1,590,600 yen (RM47,430) bagi varian teratas G 4A/T 4WD.

Google ads
Back to top button