
MITSUBISHI MIRAGE R5: SI COMEL JELMAAN LAGENDA EVO
Dalam dunia rali, Mitsubishi Evo sememangnya sudah dianggap lagenda. Tapi sayang, sang lagenda lelap terlalu lama dalam pentas utama. Tetapi semenjak kemunculan Mitsubishi Mirage R5 di benua Asia bermula tahun 2016 berjaya mencuri perhatian bahawa kereta secomel Mirage mampu berubah menjadi segarang anak monster. Tengok paras rupa pun tahu dah kesadoan Mirage ini.
BACA : PROTON AKAN KEMBALI KE KEJOHANAN RALI DUNIA 2018 DENGAN IRIZ R5
BACA : INTERNATIONAL RALLY OF JOHOR 2017 SEDANG BERLANGSUNG SEKARANG
Tapi kalau ada yang beranggapan bahawa Mirage R5 ini dibangunkan oleh Mitsubihsi sendiri telahan itu silap dan khurafat sama sekali. Sama seperti Iriz R5, ianya tidak dibangunkan oleh pengeluar sendiri tetapi atas usaha dan minat pihak ketiga maka mereka mengeluarkan modal dan menjalankan penyelidikan untuk menghasilkan sesuatu yang mereka minat. Dan Mirage R5 ini telah pun dibangunkan oleh Mpart AB yang berpangkalan di Sweden. Oh ya, pasukan Mpart ini jugalah yang bertanding dalam saingan APRC di Johor dan berjaya menaiki podium di tempat ketiga.
Nadi lama yang lebih bersifat ekonomi bagi menjimatkan penggunaan bahan bakar telah pun di lempar jauh ke dalam hutan Sweden dan digantikan dengan enjin 4B11 versi sesaran 1620cc daripada milik Mitsubishi Evo X. Transmisinya pula dari jenis Sadev 5 kelajuan, syarikat yang memang terkenal dengan segala tok nenek transmisi yang berasal dari Perancis. Sebagai sebuah jentera rali, penggunaan pacuan roda sepenuh masa sudah tentu merupakan perkara wajib ada. Manakala gandingan antara sistem gantungan MacPherson dan dampers dari jenama Ohlins cukup untuk memastikan Mirage R5 ini mampu meratah selekoh Ladang Tai Tak tanpa ada rasa curiga kereta bakal terbalik ke sebalik pokok kelapa sawit.
Asalnya Mpart AB yang dimiliki oleh Tomas Weng, merupakan peminat setia terhadap jentera Evo dan telah melibatkan dalam perlumbaan Evolution Challenge. Dan apabila produksi Evo sendiri ditamatkan, sudah tentulah perlumbaan yang melibatkan jentera Evo juga menjadi semakin terhad apabila beberapa regulasi baharu telah ditetapkan oleh FIA termasuklah pengenalan kategori R5. Dan kesetiaan Tomas Weng terhadap jenama Mitsubishi sukar dihakis apabila beliau memilih Mirage untuk di-R5-kan yang mana pengenalannya telah berjaya menarik perhatian peminat rali seluruh dunia.
Jentera yang dibina khusus untuk menepati regulasi FIA R5 ini boleh ditempah jika ada mana-mana pasukan berminat untuk memilikinya dan tidak hairanlah sekiranya kelibat jentera yang garang dan kiut ini ada terlihat di benua Eropah. Sungguhpun demikian, Mirage R5 ini masih belum layak beraksi di beberapa pentas utama seperti ERC dan juga WRC dek kerana isu homoglasi sungguhpun usaha ke arah itu sedang giat dilakukan. Walau bagaimanapun, Mirage R5 ini masih boleh beraksi dalam National Class bagi negara seperti UK, Ireland, Estonia, Poland dan tidak lupa juga bagi saingan benua asia khususnya APRC. Dapatkah kita melihat Mirage pula bersaingan dalam kategri WRC pula? Moga-moga terbuka pintu hati Mitsubishi Motor Jepun untuk kembali bersaing di pentas utama. Baru sedap sikit saing dengan Iriz R5 kan??
Sumber : mitsubihsir5.com