Buletin

MITSUBISHI NAK HIDUPKAN SEMULA RALLIART SELEPAS 11 TAHUN

Mitsubishi Motors bakal menghidupkan jenama Ralliart selepas hilang dari radar sukan pemotoran selama 11 tahun.

Rancangan membangunkan semula jenama Ralliart diumumkan semasa satu pembentangan prestasi tahun kewangan 2020.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Takao Kato berkata, Ralliart dikembalikan untuk memperkukuh apa yang digelar sebagai “pemanduan ke-Mitsubishi-an”.

“Buat pelanggan yang mahu merasai pengalaman ke-Mitsubishi-an, kami akan melancarkan kelengkapan ikut tempahan untuk barisan model kami selain akan menyertai semula acara sukan permotoran di seluruh dunia,” katanya kepada Forbes.

Antara rancangan disenarai ialah pelancaran aksesori kustom untuk model-model kenderaan Mitsubishi dan penglibatan semula dalam sukan bermotor di serata dunia.

Semasa pembentangan itu, ada paparan sebuah trak pikap Mitsubishi L200 dengan aksesori Ralliart dan satu foto lain dengan paparan teks Alat Ganti Ralliart.

Setakat ini, tiada butiran sama ada jenama unit sport akan digunakan untuk pengeluaran model-model berprestasi atau sebagai pakej naik taraf bagi kenderaan standard Mitsubishi.

Mitsubishi pernah memenangi Rali Paris-Dakar sebanyak 12 kali dan memenangi gelaran untuk pemandu sehingga empat kali dalam Kejohanan Rali Dunia (WRC).

Jenama Ralliart direhatkan pada 2010 selepas tempoh 25 tahun dalam pembangunan sukan bermotor dan kerja-kerja talaan kenderaan berprestasi tinggi. -agensi

Google ads
Back to top button