MITSUBISHI SHOGUN (PAJERO) SWB, COMEL TETAPI MASKULIN
Pengguna hari ini semakin menggemari SUV, banyak sebab jika diperhatikan di antaranya ialah praktikaliti, jarak pemandangan yang jauh serta keselesaan pemandu dan penumpang.
Sebelum berkembang seperti sekarang adakah SUV serta-merta popular?
Tidak, SUV sudah bermula puluhan tahun dahulu dalam terminologi dan kegunaan lain.
Dahulunya SUV dipanggil sebagai jip atau four wheel dan biasa digunakan untuk kerja-kerja lasak. Jip atau four wheel juga banyak digunakan oleh jabatan kerajaan.
Apabila citarasa pengguna berubah selain daripada faktor pengeluar, jip atau four wheel beransur menjadi sebuah kenderaan urban.
Jika dahulunya kenderaan jenis ini dilengkapi dengan pacuan empat roda dan bentuk berkotak, kini tidak lagi. Cukup dengan pacuan dua roda.
Bentuk berkotak juga sudah bertukar menjadi lebih aerodinamik dan Range Rover yang dahulunya popular dalam segmen lasak sudah mengeluarkan SUV coupé seperti Evoque.
Apabila bercakap tentang jip, four wheel atau SUV, tidak sah jika tidak disebut tentang Mitsubishi.
Hari ini ada yang berasa kecewa apabila Mitsubishi tidak lagi fokus kepada kenderaan penumpang seperti Lancer atau sporti seperti Mirage.
Ada benarnya tetapi satu hakikat ialah Mitsubishi turut terkenal dalam segmen kenderaan lasak dan model yang dimaksudkan semestinya Pajero.
Penglibatan Mitsubishi dalam segmen ini sudah lama, Pajero pertama kali dikeluarkan pada tahun 1982 dan ia masih lagi dijual sehingga sekarang melalui pelbagai generasi.
Pajero juga hadir dalam pelbagai bentuk, ada mini, berprestasi, mewah dan paling baharu ialah Pajero Sport yang mempunyai banyak persamaan dengan pikap Triton.
Dalam banyak-banyak varian yang dipasarkan, tidak salah jika dikatakan Pajero Mini mencuri perhatian.
Di pasaran antarabangsa seperti Eropah, Pajero dinamakan sebagai Shogun manakala model dua pintu dikenalik sebagai Shogun Short Wheel Base atau SWB.
Shogun SWB generasi keempat pertama kali diperkenalkan di United Kingdom pada 1 Mac 2007. Sudah lebih 12 tahun tetapi masih comel dan rugged sehingga sekarang.
Bahagian luaran Shogun SWB generasi keempat ini sebenarnya tidak banyak berbeza dengan generasi ketiga. Perubahan dilakukan pada bahagian depan dan belakang supaya selari dengan Shogun empat pintu.
Jika Pajero generasi pertama dahulu tampil ringkas, Shogun era moden semakin canggih.Â
Shogun SWB ini didatangkan dengan pelbagai teknologi seperti penstabilan aktif ASTC dan kawalan cengkaman, sistem tanpa kunci, ABS dan EBD.
Selain rupa yang rugged, Mitsubishi juga terkenal dengan teknologi cengkaman dan pacuan empat roda (4WD).
Shogun dilengkapi teknologi sistem kawalan kesemuan roda (AWD) dan transfer case Super Select 4 II.
Teknologi ini menggunakan centre differential lock yang membahagikan kuasa tujahan sebanyak 33:67 pada bahagian depan ke belakang.
Teknologi Super Select 4 II mempunyai empat mod pemanduan iaitu 2H pacuan roda belakang, 4H pacuan empat roda sepenuh masa, 4HLc wyang mengunci centre differential dan 4LLC untuk nisbah rendah ekstrem dalam keadaan offroad.
Shogun era mewah pula tidak kenal dengan enjin sesaran kecil. Model 2007 ini dikuasakan oleh enjin 3200 cc turbo diesel dengan output 168 hp pada 3,800 rpm dan 373 Nm pada 2,000 rpm.
Kuasa dengan transmisi manual lima kelajuan ialah 158 hp pada 3,800 rpm dan 381 Nm pada 2,000 rpm.
Selain transmisi manual, enjin ini dipadankan bersama transmisi INVECS-II automatik dengan mod sport.
Dari segi harga pula, Shogun SWB ini tidak murah, pada tahun 2007 ia sudah ditetapkan pada £22,949.
Sekarang ini Mitsubishi masih mengeluarkan model legenda ini dalam jenama yang kita kenali sebagai Pajero Sport.
Jauh sangat rasanya imej, penampilan dan posisi berbanding Pajero era 80an yang tampil ringkas dan jip sejati.
Tidak salah pun lagi pula Mitsubishi hanya mengikut peredaran zaman dan citarasa pelanggan masa kini.
Cuma sekali sekali terbit rasa rindu pada Pajero era puluhan tahun dahulu.
- BACA:Â #IKLANPILIHAN: PAJERO KONTOT YANG JARANG-JARANG BOLEH JUMPA
- BACA: EVOLUSI MITSUBISHI PAJERO – 4X4 IKONIK DARI GARIS MASA SILAM
- BACA:Â SISTEM KOMUNIKASI PAJERO
Kredit foto: Mitsubishi Motors UK