Buletin

TERSILAP TAIP, BIDAAN NOMBOR PLAT VJV 7117 ASAL RM1,302 JADI RM13,027!

Nombor pendaftaran kenderaan yang menarik dan unik pastinya jadi buruan kerana pemilik mahukan sesuatu signifikan untuk kenderaan mereka.

Selalunya pemilik menginginkan nombor pendaftaran kenderaan dari tarikh lahir, ulang tahun perkahwinan atau tarikh peringatan lain. Jadi, tidak pelik jika ada yang sanggup membida nombor pendaftaran dengan harga begitu tinggi.

Namun begitu, tak semua bidaan akan jadi milik kita. A,dakalanya dengan kemampuan kewangan terhad membuatkan ia terlepas dari genggaman sekiranya nombor berkenaan dibida pada harga yang tinggi.

Lain pula cerita yang jadi bualan di Facebook baru-baru ini dengan kapsyen “Bisnes nak jadi rugi sekelip mata lesap, harga nak masuk RM1,302 tertekan RM13,027 dugaan2”. Hantaran tersebut datang dari pemilik akaun Facebook bernama Hafiz Halimi.

Pemilik akaun itu membida nombor pendaftaran melalui JPJeBid untuk nombor pendaftaran ‘VJV 7117’. Namun gara-gara kecuaian ketika membida, dia telah menaip RM13,027 walaupun niatnya adalah untuk membida dengan harga RM1,302. Barangkali dia terlalu memikirkan ‘VJV 7117’ atau terkena sumpahan nombor 7.

Melihat reaksi warganet di ruangan komen, rata-rata terkejut selain memberi nasihat dan peringatan kepada diri sendiri. “Last minute bid memang lah, kaluttt kalau diri tak cool, semoga owner steady dan tabah,” tulis pemilik akaun Facebook Ahyie di ruang komen.

Hantaran tersebut turut dibanjiri dengan komen mengenai sama ada wang tersebut boleh dikembalikan semula kepada pemilik kerana transaksi dibuat tanpa sengaja. Menurut laman web Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), setiap bidaan yang telah dibuat tidak boleh dibatalkan atau ditarik balik.

Tuan empunya badan juga sudah memaklumkan kepada JPJ melalui e-mel. Tetapi, seperti dinyatakan di atas, bidaan tersebut adalah sah dan wang tidak boleh dikembalikan kecuali terdapat bidaan melebihi RM13,027.

Untuk makluman, JPJeBid adalah pelaksanaan inisiatif pembangunan Sistem Bidaan Nombor Pendaftaran Kenderaan Dalam Talian. Ia merupakan langkah strategik JPJ dalam memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat yang bertujuan memudahkan urusan bidaan nombor pendaftaran kenderaan. Di samping meningkatkan dan memperkemas sistem urus niaga secara dalam talian.

Antara proses yang perlu dilalui adalah mendaftar melalui portal MySIKAP. Pendaftaran MySIKAP boleh dilakukan di mana-mana pejabat JPJ negeri atau cawangan sahaja, tidak termasuk Pusat Transformasi Bandar (UTC).

Kemudian, anda hanya perlu mengikuti langkah-langkah dinyatakan untuk log masuk sebelum melakukan bidaan nombor pilihan anda.

Google ads
Back to top button