Buletin

MITSUBISHI XPANDER CROSS 2022 – REKAAN DYNAMIC SHIELD YANG LEBIH GARANG

Pasaran LMPV di Indonesia semakin meriah dengan kehadiran model-model baharu, dan yang terkini daripada Mitsubishi, iaitu Xpander Cross 2022.

Model facelift Xpander Cross ini dilancarkan di acara Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) selepas beberapa bulan Xpander facelift diperkenalkan.

Berbanding Xpander biasa, model Xpander Cross ini menampilkan rupa paras yang lebih garang, dimulakan dengan elemen Dynamic Shield yang lebih bersegi, lampu utama LED berbentuk T, diikuti dengan elemen yang sama pada unit lampu belakang.

Terdapat beberapa perubahan pada bahagian bampar depan dan belakang untuk disesuaikan dengan imej agresif Xpander Cross, sebelum diakhiri dengan rim aloi dua tona bersaiz 17 inci.

Ruang kabin Xpander Cross menampilkan ciri baharu seperti roda stereng yang diambil daripada Triton, paparan meter LCD bersaiz lapan inci, skrin infotainmen terapung bersaiz sembilan inci, sokongan sambungan kepada peranti pintar, sistem kawalan iklim automatik digital dan slot pengecasan peranti pintar nirwayar.

Dari segi kuasa, Xpander Cross mengekalkan nadi 1.5 liter MIVEC yang berupaya menjana kuasa 105 PS dan daya kilas 141 Nm, dipadankan dengan pilihan transmisi manual lima kelajuan atau CVT.

Antara ciri keselamatan yang ada termasuklah ABS, EBD, Bantuan Brek, Kawalan Kestabilan, Bantuan Mula Mendaki, serta sistem pemantauan keliling.

Sayang sekali, Xpander Cross masih lagi menawarkan dua beg udara SRS secara standard.

Harga jualan Mitsubishi Xpander Cross 2022 bermula dari Rp 309,950,000 (RM94 ribu).

Google ads
Back to top button